Perak Hari Ini

TLDM Lancar Pakaian Operasi Baharu

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melancarkan pakaian operasi bercorak digital baharu hari ini.

Majlis pra-pelancaran pakaian tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Beliau dalam ucapannya berkata, pakaian tersebut akan dibekalkan kepada kira-kira 17,000 anggota TLDM di seluruh negara.

9

Jelasnya, pakaian berkenaan akan menggantikan tiga jenis baju operasi sebelum ini iaitu baju biru berlengan panjang, baju biru lengan pendek dan pakaian Action Working Dress (AWD).

“Pada masa yang sama ia secara tidak langsung menyumbang kepada langkah penjimatan yang sesuai dengan ‘transformasi pakaian operasi 3-to-1’ yang diketengahkan oleh TLDM.

“Tindakan kita ini telah menjimatkan kira-kira RM1.4 juta dan ia akan berterusan serta mungkin jadi lebih lagi pada masa akan datang,” katanya.

8

Tambahnya lagi, tujuan TLDM memperkenalkan pakaian baharu tersebut adalah untuk mengelakkan kekeliruan terhadap anggota TLDM.

“Saya sendiri telah mengalami apabila ada yang menyangka saya salah seorang daripada pengawal keselamatan ketika saya pergi ke sebuah bank dengan memakai baju operasi berwarna biru.

“Oleh sebab itulah kita rasakan pakaian baharu ini perlu untuk mengelakkan kekeliruan antara anggota TLDM dan mana-mana pihak yang lain,” katanya lagi.

2

Jelasnya, pakaian baharu ini akan dipamerkan secara rasmi kepada orang awam dalam perbarisan Hari Kemerdekaan negara yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

“Sehingga kini, ia telah dibekalkan kepada 500 anggota yang mana pada hari ini kita lihat ianya telah digunakan untuk tujuan operasi di atas kapal.

“Semua anggota akan dibekalkan dengan pakaian baharu ini secara berperingkat kerana kita tidak mahu berlakunya pembaziran.

“Kita jangkakan tahun hadapan semasa Hari TLDM, semua anggota akan diperuntukan pakaian baharu berkenaan,” tambahnya.

4

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengekalkan ciri-ciri keselesaan dan keselamatan pada pakaian tersebut bagi memastikan ianya sesuai digunakan ketika operasi di dalam kapal.

“Apabila kita kurangkan tiga pakaian kepada satu, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan ruang penyimpanan dalam kapal yang kita tahu sempit.

“Selain itu, material yang digunakan untuk pakaian berkenaan juga tidak akan melekat pada kulit sekiranya berhadapan dengan tahap kepanasan yang tinggi atau kebakaran,” ujarnya.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");