Sukan Hari Ini

TRW berdepan tugas sukar

JURULATIH Kelantan, Velizar Popov mengakui pasukannya berdepan tugas sukar mencari tiga mata apabila menanti kunjungan Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Popov menyifatkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu cukup sempurna segenap posisi terutama di bahagian tengah walaupun kualiti pemain ia jelas milik penerajui takhta, Johor Darul Ta’zim (JDT) saingan musim ini.

Menurutnya, dia mengenali rakan sejawatannya itu ketika beraksi dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2013 dan menyifatkan pengemudi skuad The Fighters itu antara jurulatih tempatan terbaik di negara ini.

“Tiga tahun lalu, saya bersama New Radiants SC dan dia pula dengan Selangor. Kami tewaskan mereka 2-0 ketika itu tetapi saya fikir Selangor di bawah kendaliannya cukup bagus, sekarang anda lihat di mana Felda United berada.

“Ia akan menjadi satu pertemuan sukar buat Kelantan. Forkey Doe (Francis, penyerang) merupakan pemain terbaik dalam liga ketika ini, mereka hilang Lutfulla (Turaev) tetapi pasukan itu masih kuat kerana mempunyai ramai lagi pemain berkualiti di posisi tengah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tegas Popov, dia berdepan masalah besar dalam merencanakan persiapan The Red Warriors (TRW) ketika Felda United dilihat begitu ghairah mahu mengulangi kejayaan tahun lalu dengan memalukan Kelantan di Kota Bharu.

Menurutnya, dia bukan sahaja gagal menggunakan Mohamad Muslim Ahmad dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria malah turut dikejutkan kecederaan serius pertahanan importnya, Jonathan McKain, dua hari lalu.

“Dia (McKain) 99 peratus terkeluar (tidak boleh beraksi) sehingga akhir musim ini. Kami tidak boleh lagi guna khidmatnya, (karier) dia sudah berakhir di sini. Kami kini kehilangan pasangan (Mohamad Muslim dan McKain) di bahagian pertahanan tengah.

“Sekarang kami kena ubah segala-galanya. Jika saya terpaksa tukar seorang pemain tak apa, tetapi ini dua dalam satu masa dan ia (kehilangan) sangat serius bagi pasukan ini,” katanya.

Katanya, walaupun berpeluang menggunakan sistem penggiliran namun Popov menjelaskan dia tidak kesemua 25 pemain dalam pasukannya yang mempunyai tahap keupayaan sama.

“Kita bukan seperti JDT. Sejujurnya, saya tidak ada pilihan menggilirkan pemain jika kita mahu bermain untuk mendapatkan keputusan (kemenangan),” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");