Berita Hari Ini

Wanita main peranan penting pelihara alam sekitar – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu memainkan peranan penting dalam pelbagai usaha memelihara alam sekitar, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, peranan itu bukan sahaja harus dimainkan oleh pemimpin dan aktivis wanita, sebaliknya setiap lapisan masyarakat dan ekonomi, termasuklah individu dalam kehidupan seharian.

Malah, titah baginda, tugas suri rumah menjaga alam sekitar juga penting kerana mereka memikul tanggungjawab utama dalam penggunaan dan pengurusan sisa buangan yang melahirkan corak penjagaan alam sekitar individu.

“Dalam soal ini, pendidikan berkesan adalah kunci dalam menjayakan pelaksanaan kitar semula yang membentuk bahagian penting dalam strategi pengurangan penggunaan tenaga.

“Wanita juga memainkan peranan utama sebagai ibu dalam mendidik generasi seterusnya menjadi pengguna bertanggungjawab bagi mencorakkan penjagaan alam sekitar lebih baik berbanding generasi hari ini,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Wanita Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Ke-26 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PPSEAWA Antarabangsa, Teresa Hindzke; Penaung PPSEAWA Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz dan Presiden PPSEAWA Malaysia, Datuk Rahmah Abdul Hamid.

Persidangan bermula 22 sehingga 30 Ogos itu menghimpunkan kira-kira 300 delegasi dari 12 negara anggota PPSEAWA bagi membincangkan berhubung peranan pihaknya dalam melestarikan alam sekitar.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");