Membawang Hari Ini

Yasin sedia gegar semula

15 TAHUN lalu, lagu Mimpi Laila membuat kejutan apabila dinobatkan sebagai Anugerah Juara Lagu ke-16 (AJL16) dengan menewaskan beberapa buah lagu yang menjadi pilihan peminat antaranya Percayalah (Datuk Siti Nurhaliza), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah) dan Raikan Cinta (Datuk M Nasir).

Meskipun ramai yang tidak mempercayai lagu itu menjadi juara, namun juri yang mengadili pertandingan tersebut telah sebulat suara, membuat keputusan muktamad memilih lagu tersebut menjuarai anugerah berprestij berkenaan.

Pengiktirafan tersebut melonjakkan nama Yasin Sulaiman, 41, menjadi penyanyi yang popular dalam era milenium.

Kehebatan Yasin tidak terhenti di situ apabila kumpulan duo hip-hop negara, Too Phat turut bergandingan dengannya menerusi lagu Alhamdulillah pada tahun 2003. Lagu itu terus menjadi siulan dan melekat di hati peminat.

Enam tahun kemudian, Yasin terus diberi kepercayaan untuk menyanyikan runut bunyi untuk drama bersiri Nur Kasih dengan tajuk lagu tersebut adalah sama dengan drama tersebut.

Selepas itu, Yasin terus menyepi tanpa sebarang album mahupun lagu baharu.

Tujuh tahun berehat, kini Yasin sudah bersedia untuk kembali dan seterusnya memeriahkan industri hiburan. Tampil dengan single terbaharunya, Muzik, Yasin mengakui lagu itu jauh bezanya dengan lagu-lagunya sebelum ini.

Mencari bahan sesuai

Bercerita mengenai album yang akan dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, Yasin mengambil masa untuk mencari lagu yang sesuai untuk dimuatkan ke dalam album tersebut.

“Idea untuk menghasilkan album ini sudah lama dan sekitar tahun lalu kerja-kerja di sebalik tabir dibuat. Saya dapat menikmati setiap detik dalam pembikinan album ini sama ada sebelum dan semasa proses untuk album ini.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang saya nak sampaikan. Jadi, selepas mencipta beberapa buah lagu, barulah dapat menentukan hala tuju album ini,” katanya semasa pelancaran lagu terbarunya di ibu pejabat Warner Music, baru-baru ini.

Menurutnya, buah tangan terbarunya turut mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer, Faizal Tahir yang banyak membantunya dalam lagu dan albumnya nanti.

Kata Yasin, idea untuk bergandingan dengan Faizal Tahir tercetus apabila dia selalu terserempak dengan Faizal Tahir di parkir studionya di Kota Damansara.

“Beberapa kali jua kami berjumpa dan pada satu hari, saya ajak dia untuk buat lagu dan tak sangka Faizal bersetuju,” katanya teruja.

Yasin berkata, Faizal banyak memberi idea dalam penghasilan lagu dalam album barunya dan idea Faizal tampak segar serta mengikuti cita rasa pendengar masa kini.

“Kalau saya buat lagu seorang diri, saya rasa lagu yang saya cipta itu mungkin agak tua seiring dengan usia saya. Namun, dengan adanya Faizal, dia memberikan idea untuk membuat lagu, di mana lagu tersebut mempunyai rentak yang diminati oleh generasi masa ini,” katanya sambil ketawa.

Menceritakan lebih lanjut mengenai album berkenaan, Yasin berkata, lagu dalam album kali ini lebih banyak menceritakan mengenai perihal dirinya, sesuatu yang sangat berbanding albumnya sebelum ini.

Jika sebelum ini, Yasin lebih banyak membuat lagu yang bermesej perjuangan dan keinsafan.

“Kali ini, saya hendak buat lagu yang tampak sedikit ‘rileks’ namun mempunyai mesej dan makna,” katanya.

Pertaruh muzik

Sebagai perkenalan sebelum pelancaran album tersebut, Yasin mempertaruhkan lagu Muzik sebagai single pertama. Muzik adalah lagu kelapan yang ditulisnya dalam album berkenaan.

“Pada mulanya, saya agak bergelut untuk membuat lagu tersebut kerana saya hendak mencari titik pertemuan, iaitu rentak muzik yang diminati pendengar pada zaman ini terutama sekali golongan remaja dan juga saya.

“Jadi, dari situ, tercetuslah idea untuk mencipta Muzik dengan rentak lagu tersebut mempunyai unsur dubstep,” katanya.

Kata Yasin, genre lagu tersebut adalah muzik global memandangkan terdapat banyak elemen moden di dalamnya dan mengambil masa untuk menyiapkan lagu berkenaan.

“Beberapa kali, saya menukar susunan lagu ini supaya ia kena dengan suasana muzik masa kini. Saya harap, lagu ini mendapat tempat di hati masyarakat, terutama sekali golongan muda,” katanya.

Yasin mahu melakukan pecutan terakhir sebelum dia mula memperlahankan dirinya dalam industri hiburan.

Memandangkan sudah masuk ke dalam usia 40-an, Yasin mahu membuat pelbagai perkara sebelum menjangkau usia 50-an.

“Saya sudah mempunyai perancangan dalam jangka masa 10 tahun ini. Saya nak buat lagu sebanyak mungkin, buat persembahan sebanyak mungkin dan pelbagai lagi.

“Apabila umur mencecah 50 tahun, saya mungkin memperlahankan diri saya untuk membuat semua perkara ini,” katanya.

Ditanya adakah dia akan bersara setelah berumur 50 tahun, Yasin tidak bermaksud untuk bersara pada usia berkenaan.

Selagi mempunyai kudrat dan kemampuan, Yasin akan terus menyanyi dan membuat lagu bagi menghiburkan masyarakat.

“Pada pendapat saya, apabila kita berumur 50 tahun, zaman kegemilangan seseorang artis sudah sampai ke penghujungnya.

“Sementara saya masih bertenaga lagi, saya mahu membuat kesemua perkara ini sebelum saya memperlahankan karier saya,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");