BAGAN DATOH : Setiap pemimpin termasuklah wakil rakyat perlu membantu rakyat secara adil tanpa ada sebarang diskriminasi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap pemimpin harus memberi keutamaan kepada sesiapa yang memerlukan kerana seorang pemimpin itu perlu adil.
“Sepatutnya setiap pemimpin apatah lagi wakil rakyat haruslah melakukan tindakan untuk membantu secara adil kepada rakyat dan pengundi tanpa mengira sama ada kita mempunyai hubungan darah, kekeluargaan atau persahabatan.
“Keadilan ini walaupun subjektif, ianya merujuk pada keadilan kepada orang yang memerlukan dan di dalam soal ini, saya memberikan penekanan bukan kepada pemimpin BN sahaja.
“Saya yakin dalam parti apa pun, langkah yang sama harus dilakukan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis menyerahkan lembu korban sebanyak 130 ekor bagi kawasan Bagan Datoh di Dewan Besar Sungai Sumun, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh menyerahkan lembu korban itu kepada wakil masjid dan surau di kawasan berkenaan.
Ujarnya, beliau turut menerima laporan bahawa terdapat dikalangan pemimpin yang tidak melakukan sedemikian.
“Bukan kerana ada tanggapan pilihanraya sudah hampir, tetapi sikap untuk memberikan bantuan secara adil kepada mereka yang memerlukan bantuan secara adil harus menjadi budaya kepada pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya atau kaedah lain,”katanya.