Jenayah

Bekas tentera ditahan polis

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas anggota tentera yang dipercayai terlibat kes samun kedai serbaneka 24 jam, sejak bulan lalu diberkas polis, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pulau Ketam, di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 9.40 malam, hasil risikan dan intipan yang dijalankan pihaknya sebelum ini.

“Kita turut merampas sebilah pisau dipercayai senjata digunakan dalam kegiatan jenayah terbabit selain sehelai baju dan seluar jeans, sebuah motosikal jenis EX-5, topi keledar, telefon bimbit serta kunci.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kes samun di dua buah kedai serbaneka 24 jam iaitu di Jalan Hiliran, Chabang Tiga, di sini, pada 19 Ogos lalu dan di Bukit Tunggal, di sini, pada 2 September lalu,” katanya, semalam

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Menurut Suffian, suspek yang menutup mukanya dengan topi keledar masuk ke dalam kedai dan berpura-pura membeli rokok atau pun apa sahaja barang kepada pekerja di kaunter pembayaran.

“Sejurus itu, suspek mengeluarkan pisau dibawanya lalu mengacukan kepada mangsa sebelum melarikan wang tunai serta rokok.

“Nilaian kerugian bagi kedua-dua kes itu dianggarkan lebih RM1,000,” katanya.

Selain itu, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang masih bujang dan dipecat jawatannya sejak 2012 itu turut positif dadah jenis heroin.

Suspek kini direman selama 14 hari bermula semalam mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata.

Sementara itu, Suffian berkata, suspek memiliki satu rekod lampau sebelum ini dan pernah dipenjarakan selama lima bulan kerana kesalahan mencuri besi pintu Istana Bukit Jambul, di sini, iaitu satu kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, tahun lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");