Sukan Hari Ini

Belum masa berpesta!

WALAUPUN gelaran juara Liga Super sudah didakap Johor Darul Ta’zim (JDT) namun pengendalinya Mario Gomez menegaskan perjuangan mereka masih belum selesai.

Menurut Gomez, JDT kini perlu mengharungi satu lagi perlawanan dengan menanam keazaman tinggi untuk menamatkan saingan musim ini dengan rekod bersih.

Untuk rekod, sepanjang musim ini JDT merakam 17 kemenangan dan empat seri selepas mengharungi 21 perlawanan.

“Kami masih ada satu lagi misi, iaitu akhiri musim ini dengan rekod tanpa kalah sekali gus merakamkan sejarah baharu dalam saingan liga selain sudah menggondol piala tersebut buat kali yang ketiga.

“Saya akui perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia harus dilakukan kerana para pemain juga menunjukkan kesungguhan yang jitu setiap kali beraksi lebih-lebih lagi ketika di sini (Larkin),” katanya selepas perlawanan menentang T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Selatan mudah menjinakkan The Titans dengan kemenangan besar 5-1 walaupun turun tanpa beberapa tonggak utama yang direhatkan.

Kemenangan tersebut kata Gomez, membuktikan pemainnya masih bernafsu walaupun sudah ditabalkan sebagai juara.

“Mereka bermain dengan baik, semua tahu tugas masing-masing dan ikut apa yang sudah dirancang. Apa yang paling penting sekarang moral mereka berada di tahap tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Gomez juga yakin faktor menjuarai Liga Super buat tahun ketiga berturut-turut akan menjadi tonik untuk mengekalkan rekod kemenangan dalam mengharungi baki saingan Piala AFC yang kini di peringkat separuh akhir.

Katanya, JDT tidak mengalami sebarang tekanan memandangkan perlawanan seterusnya akan dijalankan beberapa hari sahaja lagi.

“Apa yang penting pemain mendapat rehat yang secukupnya, dan ketenangan sebelum mulanya aksi berdepan Bengaluru FC nanti.

“Pasukan sentiasa komited ketika menjalankan sesi latihan, dan itu menunjukkan mereka sentiasa cuba untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

“Kita telah pun mara sejauh ini, saya yakin pemain tidak akan mengalah sekarang dan akan mencuba sebaik mungkin dalam perlawanan yang akan datang,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");