Berita Hari Ini

Cadangan basmi dadah KPI pegawai daerah dikaji

LANGKAWI: Semua pegawai daerah akan bertanggungjawab menetapkan sasaran bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah masing-masing jika usul menjadikannya sebagai indeks prestasi utama (KPI) diluluskan kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini berkata cadangan yang dikemukakan oleh Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Datuk Seri Mohd Johari Baharum itu akan diteliti bagi mengenal pasti kesannya dalam membanteras gejala itu di negara ini.

“(Bukan sahaja) untuk semua pegawai daerah yang akan menjadikannya antara 10 KPI teratas tetapi juga untuk ketua-ketua setiausaha beberapa kementerian yang akan saya kenal pasti kelak,” katanya semasa menyampaikan ucaptama bersempena Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan di sini.

Katanya buat masa sekarang, pegawai daerah turut bertindak sebagai pengerusi Pemadam Daerah masing-masing dan perlu bergiat aktif melibatkan komuniti setempat dalam pembanterasan penyalahgunaan dadah.

Ali turut mencadangkan supaya kaedah “golongan muda menasihati golongan muda” diperhebatkan lagi oleh Pemadam bagi meningkatkan lagi impak positif daripada program kesedaran bahaya dadah yang dilaksanakan mereka.

Sebelum itu, Mohd Johari yang juga Menteri Pertahanan berkata cadangannya supaya usaha pembanterasan dadah ini dijadikan sebagai KPI ini juga sebagai satu lagi penilaian untuk kenaikan pangkat pegawai daerah.

“Untuk naik pangkat, (saya cadangkan) mesti ada KPI ini dan menjadikan usaha membasmi dadah sebagai prioriti,” katanya.

Menurutnya usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Malaysia secara keseluruhannya masih gagal berdasarkan peningkatan jumlah tangkapan dan rampasan berkaitan dengannya.

Katanya keadaan ini menagih kesanggupan politik pemimpin dan komitmen lebih tinggi kerajaan dan masyarakat untuk memastikan negara benar-benar bebas daripada masalah ini.

“Janganlah buat setakat melepaskan batok di tangga. Kalau berterusan seperti ini, sampai kiamat pun perkara ini tidak akan selesai,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");