Membawang Hari Ini

Christopher mahu kesempurnaan

Walaupun baru dikenali, penyanyi dari Denmark, Christopher Nissen mempunyai potensi besar melakar kejayaan di pentas lebih besar.

Jiwa muziknya melangkaui paras tampannya sekali gus menjadikan ia kekuatan sebenar.

Bagaimanapun, paling menarik mengenai Christopher, 24, ialah kemampuannya menyanyi secara langsung dengan begitu sempurna.

Tidak dinafikan jika mendengar suaranya di pentas, pasti terus jatuh cinta.

Ketika ditemu bual RAP, baru-baru ini, Christopher berkata, dia memang mementingkan aspek persembahan kerana dia mahukan kesempurnaan.

“Bagi saya suara adalah aset paling penting buat penyanyi. Saya bukannya menghadiri sebarang kelas formal tapi menyedari vokal sangat penting jika seseorang penyanyi itu mahu dihormati.

“Setiap kali membuat persembahan, saya pastikan melakukan ‘pemanasan suara’ beberapa jam sebelum ke pentas. Selain itu, saya juga akan melakukan senaman tekan tubi bagi membuka rongga dalam badan,” katanya.

Bercerita mengenai penjenamaannya yang cuma menggunakan nama Christopher, pasti ramai berteka-teki dengan pemilihan nama berkenaan.

Mana tidaknya, ramai lagi penyanyi lain membawa nama sama dalam dunia ini.

Namun, penyanyi lagu I Won’t Let You Down itu beranggapan dia tidak akan mempunyai masalah dari segi itu.

Bahkan, dia sudah memikirkan masak-masak mengenai hal itu dan selesa bergerak dengan nama berkenaan.

“Saya kerap mendapat pertanyaan seumpama itu dan sebenarnya pernah juga terfikir mengenainya. Saya cuba masukkan nama keluarga iaitu Nissen namun ia jadi pelik dan sebenarnya kurang sesuai berbanding Christopher saja.

“Disebabkan itulah saya teruskan niat menggunakan nama sendiri saja dan peminat sebenarnya sudah terbiasa,” katanya.

Christopher singgah ke Kuala Lumpur baru-baru ini dalam rangka promosi dirinya selain album studio ketiganya yang baru dilancarkan tahun ini.

Yang pasti, dia sudah memiliki kelompok peminatnya tersendiri di Malaysia.

Perkara itu terbukti sewaktu dia buat kemunculan di konsert Akademi Fantasia selain mengadakan persembahan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut mengenai album terbarunya berjudul Closer itu, dia mengakui album berkenaan cukup memberi kepuasan maksimum buatnya.

Apatah lagi dia pun ada mendapat bantuan rakannya, Brandon Beal, penyanyi yang berkolaborasi dengannya menerusi lagu Twerk It Like Miley.

“Album ketiga ini album terbaik yang saya hasilkan setakat ini. Dari segi material terutamanya, saya perlu katakan semuanya berkisar pengalaman diri yang akan membuatkan pendengar lebih kenal atau dekat dengan saya.

“Bagaimanapun, saya masih berhadapan cabaran hebat terutama daripada segi pemilihan lagu apa yang terbaik untuk dimuatkan. Daripada 50 lagu yang saya cipta sejak beberapa tahun lalu, hanya 12 lagu dimuatkan.

“Paling istimewa, saya turut dapat bantuan Brandon yang sememangnya cukup saya hormati apabila menyentuh mengenai muzik. Saya sudah mengenalinya sebelum ini dan tidak pernah bosan bekerja dengannya. Ini kerana dia sajalah yang tahu mengorek segala perkara baik dalam diri saya,” katanya.

Biarpun dari Denmark, muzik Christopher ternyata merentasi benua dan ketika ini menjadi antara artis luar paling digilai di China.

Bukan saja lagunya jadi siulan, peminatnya di sana juga mencecah jutaan orang.

Dalam pada masih terharu dan bangga, baginya itu satu kepuasan yang tidak dijangka. Apatah lagi ia datang daripada faktor kualiti muziknya dan bukan sekadar sama ada nama dia besar atau tidak.

“Apabila dimaklumkan beberapa lagu saya unggul dalam carta muzik di sana, ia benar-benar mengejutkan. Ia jadi lebih istimewa apabila saya sendiri ke sana dan melihat betapa luar biasa jumlah peminat di China,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");