PEMAIN tengah Manchester City, Kevin De Bruyne mahu memberikan aksi yang terbaik menjelang aksi tetangga bertemu Manchester United di Old Trafford, malam ini demi menghargai sokongan penyokong setia kelab bola sepak itu selama ini.
Menurutnya, perlawanan malam tersebut harus berakhir dengan kemenangan berpihak kepada The Citizens.
“Perlawanan derby merupakan salah satu perlawanan yang sangat dinantikan dalam dunia bola sepak. Sebagai pemain, kami tidak sabar untuk bermain nanti, dan saya pasti para peminat turut mempunyai perasaan yang sama.
“Saya tahu peminat akan bersorak memberi sokongan, jadi kita perlu menang perlawanan itu dan menggembirakan penyokong yang hadir,” katanya.
Walaupun masih belum menjaringkan gol buat City musim ini namun De Bruyne yakin perlawanan derby itu nanti akan menjadi pentas kebangkitannya untuk membukti kemampuan.
“Saya sudah tidak sabar untuk turun beraksi dan ledak gol yang dicari selama ini,” ujarnya yang gembira bermain dengan corak permainan diterapkan pengurus baharu, Pep Guardiola yang disifatkan seperti apa yang dia mahukannya selama ini.
City kini di tangga teratas liga tetapi hanya dibezakan menerusi jaringan dengan United selepas kedua-dua kelab mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan.
-Sinar Harian