Membawang Hari Ini

Cristina Suzanne mahu perbaiki diri

BIARPUN namanya sering tercalon dan pernah menang dalam beberapa anugerah utama industri seni tanah air, Cristina Suzanne tidak pernah menganggap dirinya sudah cukup bagus.

Malah, pelakon berdarah campuran Melayu-Jerman ini sentiasa meletakkan dirinya sebagai orang baharu dan mahu menimba ilmu dalam bidang lakonan.

Bukan hanya cakap-cakap kosong, Cristina atau lebih mesra disapa sebagai Cris bakal menyertai kelas lakonan yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), November depan.

Katanya, peluang yang kebetulan terbentang di depan mata itu tidak mahu disia-siakan, apatah lagi apabila mengetahui pelakon hebat, Fauziah Nawi turut terlibat sebagai tenaga pengajar.

“Sebenarnya, sudah lama saya berhasrat untuk mengambil kelas lakonan, namun peluang dan masa tidak begitu menyebelahi. Jadi bila dapat tahu Finas akan mengadakan kelas lakonan, saya mengambil peluang ini sebaik mungkin.

“Sebelum ini, saya hanya belajar dan menimba pengalaman di lokasi ketika bekerja. Bagi saya, setiap hari kita berjumpa dengan orang berbeza dan setiap kali itu jugalah kita akan belajar benda baru.

“Jadi gunakan ruang itu untuk memperbaiki diri. Namun kalau kita jenis yang tidak mahu belajar, mungkin peluang seperti itu akan berlalu begitu sahaja,” ujarnya yang cukup dikenali dengan sikap merendah diri ini.

Biarpun menjadi kebiasaan untuk pelakon yang sudah ada nama sepertinya bersikap lebih selektif dalam menerima sesebuah tawaran atas pelbagai alasan, Cris pula lebih realistik.

Sebelum menerima apa-apa tawaran, pelakon yang bakatnya mula dikesan menerusi program realiti TV, Jejak Kasih ini, lebih terarah untuk mengukur kemampuan dirinya terlebih dahulu,

“Saya tahu memilih naskhah yang baik itu sememangnya penting dalam kerjaya kita sebagai seorang pelakon. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu fikirkan adakah bakat atau kemampuan kita setara dengan sikap selektif kita itu.

“Apalah ertinya sebuah naskhah yang bagus jika kita tidak mampu memberikan yang terbaik. Jadi banyak aspek yang perlu diambil kira sebelum kita mahu memutuskan sesuatu.

“Saya suka bersikap memberi peluang, baik pada diri sendiri mahupun orang lain. Jadi kita akan lebih terbuka dalam memberi ruang kepada diri untuk mendapat pengalaman baru.

“Sebab itu jugalah saya tidak kisah untuk bekerja dengan orang-orang baru kerana percaya mereka juga mempunyai sesuatu yang mungkin kita tidak ada. Keserasian itu boleh diwujudkan ketika bekerja. Kita sama-sama buat kerja yang terbaik untuk memberikan hasil yang terbaik,” tegasnya.

Sibuk promosi filem baharu

Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, Cris yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2013 ini, sibuk dengan aktiviti promosi filem terbaru lakonannya, Surf This Love.

Filem terbitan Global Solution Resources ini bakal menemui penonton pada Februari tahun depan.

“Filem ini mengisahkan kehidupan pemain luncur air. Ia merupakan sebuah kisah yang sangat menarik dengan jalan cerita yang berbeza daripada filem-filem sedia ada. Walaupun ia sebuah filem ringan, namun banyak benda yang baru difikirkan.

“Saya memegang watak sebagai Mia, seorang blogger yang menulis tempat-tempat menarik untuk pelancongan. Karakternya sangat menarik kerana dia seorang yang relaks, tetapi realistik terhadap sesuatu perkara, macam saya.

“Jadi kadang-kala saya terlupa sedang berlakon kerana terasa diri masuk di dalam watak Mia,” katanya yang berdepan situasi mencemaskan apabila sampan yang dinaiki hampir terbalik ketika penggambaran dilakukan.

Selain sibuk dengan aktiviti lakonan, Cris juga bakal tampil sebagai pengacara untuk sebuah program travelog terbitan RTM tidak lama lagi.

Program yang bakal menjalani penggambaran selama sebulan di Korea Selatan itu semestinya cukup dinantikannya.

“Selepas beberapa tahun, saya tidak sangka tawaran dalam bidang pengacaraan datang lagi.

“Agak sukar untuk ditolak kerana kecenderungan saya sememangnya kepada program sebegini.

“Lagipun, selepas beberapa tahun bergelar anak seni, keyakinan untuk tampil sebagai pengacara mula datang sedikit demi sedikit.

“Jadi saya beranikan diri untuk menerima tawaran ini dan dalam masa yang sama mengasah kembali bakat dalam bidang ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");