Pemilihan pelakon ‘versatile’ Ellie Suriati sebagai tenaga pengajar persembahan program Akademi Fantasia 2016 (AF2016) dilihat tepat.
Malah kredibiliti yang dimiliki Ellie selaku pengarah filem dan teater menjadikan dia arif dengan persembahan pentas.
Cukup dikenali dengan komitmen dan disiplin dalam bekerja, Ellie mengakui dia perlu memberi fokus 100 peratus terhadap pelajar AF2016.
“Saya bersama mereka tujuh hari seminggu sepanjang lapan minggu program ini berlangsung. Buat masa sekarang fokus saya terhadap mereka. Saya tak nak bersikap sambil lewa sebaliknya perlu ‘all out’ demi masa depan mereka.
“Dari segi masa bersama keluarga, suami perlu menerima hakikat ini. Malah anak saya juga sudah biasa. Lagipun, kalau saya bekerja suami ada bersama mereka. Jika kedua-dua kami keluar bekerja pula, anak dijaga oleh anak saudara saya.
“Suami cukup memahami kerana dia juga seorang pelakon. Dia sudah faham dengan sikap saya yang kuat bekerja. Bagi saya tidak wujud sebarang masalah,” katanya.
Mengenai penampilannya yang dilihat jauh lebih kurus daripada sebelumnya, Ellie berkata, ia adalah atas kesedaran diri sendiri.
Bentuk tubuh yang dimiliki kini bukan semata-mata untuk kelangsungan kerjayanya, tetapi lebih kepada penjagaan kesihatan.
“Saya tidak makan nasi sejak lima bulan lalu. Pada masa sama saya mengamalkan senaman. Kalau dulu saya gemuk sehingga menjadi ejekan orang sekeliling. Apabila berjaya menurunkan berat badan, saya gembira.
“Kerja keras selama ini berbaloi. Apa saya lakukan bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi lebih kepada kesedaran diri sendiri. Pada masa sama ia boleh memberi motivasi kepada orang lain. Apa yang penting kena rajin,” katanya.
Jaga standard AF
Ellie menganggap tanggungjawab diberikan sebagai cabaran untuknya terutama dari segi kualiti AF itu sendiri.
“Saya tidak pernah terbabit dalam program ini. Jadi saya sangat menghormati cikgu sebelum ini seperti Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Que Haidar dan banyak lagi. Disebabkan itu saya tak nak menjatuhkan standard AF itu.
“Cuma saya bertuah apabila berpengalaman dalam bidang pengarahan. Pendek kata saya sudah biasa dengan permainan pentas. Saya memahami tugas pengarah AF. Justeru, saya mempraktikkan apa yang produksi inginkan daripada pelajar berdasarkan pembelajaran bersama saya,” katanya.
Menurut Ellie, AF adalah tempat paling sesuai untuknya berkongsi segala ilmu yang ada dengan semua peserta terbabit.
Dari segi kerjaya seninya, Ellie masih aktif berlakon dan mengarah. Malah selepas tamat program ini dia bakal mengarahkan telefilem.
“Insya-Allah saya dalam proses menyiapkan kertas kerja bagi pembikinan filem biopik. Ia berkaitan perjuangan. Jika semuanya berjalan lancar, saya akan kongsikan kepada semua.
“Kalau saya menulis skrip dan mengarah, masa saya memang lebih banyak di belakang tabir. Tetapi tak bermakna saya berhenti berlakon. Ingin dijelaskan saya masih aktif berlakon dan jangan takut panggil saya berlakon,” katanya.
-Harian Metro