Berita Hari Ini

ESSCOM perkemas SOP kawasan larangan

SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memperkemas dan meneliti semula draf cadangan standard prosedur operasi (SOP) bagi kawasan larangan membabitkan 11 pulau dan dua terumbu di Semporna.

Ia dibangunkan dalam bengkel SOP anjuran ESSCOM bersama beberapa agensi berkaitan di Kota Kinabalu, baru-baru ini, antara lain memastikan ia mengandungi semua gerak kerja, peraturan dan undang-undang agensi berkaitan dalam menghasilkan SOP selaras serta menyeluruh.

Pegawai Daerah Semporna, Dr Chacho Bullah, berkata SOP itu akan menjadi rujukan dan kegunaan semua agensi pelaksana di lapangan dalam mengurus, mengawal selia, menguat kuasa peraturan dan undang-undang di kawasan berkenaan.

Agensi terbabit termasuk polis, Pejabat Daerah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tugas Bersama Dua, kastam, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

Turut terbabit ialah Jabatan Tanah dan Ukur, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Pengurusan dan Pemantauan Kawasan Larangan Daerah Semporna, berkata SOP itu akan menyediakan satu kerangka struktur pengurusan dan kawal selia bagi mewujudkan keseragaman peraturan di kawasan berkenaan.

“Pembentukan SOP ini membantu ESSCOM mengawal selia dan memperkasa kawasan terbabit terutama aspek penguatkuasaan dan keselamatan.

“Pengisytiharan lokasi terbabit sebagai kawasan larangan tidak akan menjejaskan aktiviti sosio-ekonomi setempat termasuk aktiviti nelayan pantai, penanaman rumpai laut dan pelancongan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini, hari ini.

Pengisytiharan perintah kawasan larangan di 11 pulau serta dua terumbu di perairan daerah ini diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada 13 November 2015.

Pulau dan terumbu berkenaan dikenal pasti sebagai laluan penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah khususnya penculikan dan rompakan di perairan Semporna dan Lahad Datu.

Sebelas pulau berkenaan ialah Pulau Sibuan, Maiga, Gaya, Mantabuan, Sibangkat, Selakan, Tetagan, Bohey Dulang, Kulapuan, Bohayen, Timba-Timba, manakala dua terumbu ialah Sibangkat dan Batura.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");