Perak Hari Ini

Hasrat Mahu Satukan Pembangkang Sukar Dicapai-Zahid

BAGAN DATOH : Hasrat pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan semua parti pembangkang dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) mungkin sukar untuk dicapai.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu tidak mudah untuk dicapai kerana semua parti yang ingin disatukan itu masih ‘terluka’.

“Saya yakin cadangan itu sukar diterima biarpun untuk satukan semua parti di dalam satu wardah kerana tokoh itu (Tun Mahathir) telah menyebabkan parti-parti yang mahu disatukan itu masih terluka dan masih ada parut politik.

“Tentunya kalau ada ‘perkahwinan’ politik, ianya adalah berbentuk sementara untuk mencapai tujuan-tujuan yang orang itu sahaja ketahui,”katanya ketika ditemui di majlis penyerahan 130 ekor lembu korban bagi kawasan Bagan Datoh, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat Tun Mahathir yang tidak menolak untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu turut berpendapat bahawa umum melihat tindakan pertemuan Tun Mahathir dan Anwar itu adalah satu tindakan yang terdesak.

“Saya berpendapat, umum melihat tindakan itu semata-mata untuk mencapai tujuan seseorang dan diuruskan oleh seorang yang lain seolah-olah ada kesatupaduan di kalangan pemimpin parti-parti berkenaan.

“Tindakan terdesak itu mungkin kerana eranya sudah berlalu dan mana-mana organisasi, mereka mahu pembaharuan.

“Jika lagu lama masih dimainkan apatah lagi lagu politik dan kebencian terus didendangkan, tentulah tidak ada timbal balas yang baik diterima oleh mana-mana pengikut organisasi yang mahukan perubahan,”jelas Ahmad Zahid.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");