Perak Hari Ini

Jangan Jadikan Laporan KRI Modal Politik – MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menasihatkan pihak pembangkang terutama Nga Kor Ming untuk tidak menjadikan laporan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI)  sebagai modal politik.

Beliau berkata, dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi DAP negeri itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan yang menyatakan bahawa negeri Perak adalah kedua termiskin di Malaysia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Zambry berkata, beliau telah menjangkakan bahawa laporan yang dibuat oleh KRI itu akan dijadikan sebagai peluang pembangkang melebarkan tomahan, tuduhan dan juga kesempatan untuk kepentingan politik mereka.

“Jangkaan saya tepat sekali apabila Nga Kor Ming dan partinya membuat cetakan secara besar-besaran (laporan tersebut) dengan niat yang sangat tidak baik untuk menggambarkan bahawa Perak negeri kedua paling miskin.

4 (2)

“Kalau sekiranya beliau mempunyai niat yang baik untuk sama-sama melihat secara objektif, maka dia tidak akan mengambil kesempatan yang keterlaluan seperti ini.

“Mereka (pembangkang) akan menggunakan ini dan berterusan akan turun ke bawah untuk memberitahu kepada rakyat walaupun sudah berkali-kali disebutkan bahawa ia tidak benar seperti yang dilaporkan, malah Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani telah menafikan dakwaan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Tambah Zambry lagi, pihak pembangkang juga beranggapan bahawa ia merupakan peluang terbaik mereka untuk menghentam kerajaan negeri dan juga mengaburi mata rakyat.

“Dia (Nga Kor Ming) menggunakan kesempatan ini supaya rakyat menyokong mereka walaupun dengan penipuan… Walaupun dia memanipulasikan fakta, dia tak peduli itu, bagi dia, dia nak orang percaya dengan apa yang dia sebutkan.

“Saya harap kepada mereka (pembangkang), janganlah keterlaluan bermain seolah-olah mereka dapat ‘peluru’ baru bagi menghentam kerajaan. Tetapi saya yakin bahawa rakyat tidak mudah diperbodohkan untuk terpengaruh dan mempercayai apa yang dikatakannya,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");