Berita Hari Ini

KDN kerjasama dengan KPT kekang penularan Daesh

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha mengekang penularan pengaruh kumpulan militan Daesh dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata langkah awal perlu diambil bagi memastikan fahaman kumpulan pengganas itu tidak merebak dalam kalangan pelajar IPT.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain terutama dalam perkara membabitkan hal keselamatan negara.

“Baru-baru ini saya bermesyuarat dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melihat bagaimana langkah awal penyebaran-penyebaran elemen Daesh di IPT dan kolej dapat diatasi.

Walaupun bilangan pelajar yang dikatakan terlibat dengan Daesh masih kecil tetapi kami akan lakukan langkah-langkah pencegahan kerana tidak mahu pelajar terpengaruh dengan elemen yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sesi Perkongsian Ilmu Gelombang Ancaman-ancaman Luar Ke Atas Malaysia dan Kesediaan Kita Menghadapinya anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Rohani Abdullah.

Beliau yang juga Penasihat Puspanita Cawangan KDN berkata pihaknya menasihatkan semua pihak memainkan peranan dalam membendung kegiatan kumpulan pengganas itu.

“Ancaman ini tidak boleh diatasi secara bersendiri, tanpa sokongan semua pihak sukar bagi agensi penguatkuasaan mengambil tindakan yang lebih efektif,” katanya.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");