Jenayah

Kegiatan jual air ketum lumpuh

SETIU – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan menjual air ketum di Setiu, hasil serbuan di sebuah bangsal di Kampung Jelapang, Sungai Tong, awal minggu ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 7 malam itu, polis menahan 11 lelaki, termasuk pemilik bangsal berusia 51 tahun dan seorang pekerja.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, siasatan mendapati pemilik bangsal itu pernah tiga kali ditahan kerana kesalahan sama dan menjadikan bangsal tersebut sebagai pusat jualan air ketum.

Menurutnya, semua suspek berusia 29 hingga 65 tahun ditahan kerana dipercayai sedang melakukan urusan jual beli bahan terlarang itu.

“Mereka cuba lari apabila sedar kehadiran polis, tetapi gagal kerana kawasan itu sudah dikepung. Polis menemui enam guni mengandungi 890 paket plastik cerah berisi cecair dipercayai air ketum dianggarkan bernilai RM2,670.

“Siasatan mendapati air ketum itu dijual dengan harga RM3 sepaket dan bekalan diperoleh dari utara tanah air. Mereka direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam kes berasingan, ibu pejabat polis berjaya menangkap suspek berusia 32 tahun, yang dipercayai terlibat kes curi plat tembaga milik TNB di pencawang Sekolah Sekolah Kebangsaan Kampung Banggol pada 17 Ogos lalu.

Elias berkata, suspek beralamat di Kampung Gong Ubi Keling dipercayai melakukan perbuatan itu bersama seorang rakannya yang masih bebas.

Menurutnya, suspek melakukan perbuatan itu dengan menaiki Proton Saga BLM, yang menyebabkan kerosakan pada pencawang dengan nilai kerosakan RM11,000.

“Ada pihak merakam gambar kereta dinaiki dua suspek yang menyamar sebagai pekerja TNB, susulan itu kita berjaya mengesan kereta tersebut yang didaftar atas nama seorang wanita di Kampung Kubang Depu, dekat Jertih.

“Beberapa hari kemudian, polis berkas suspek yang memaklumkan dia melakukan perbuatan itu bersama seorang rakan. Polis kemudian serbu sebuah premis barang lusuh di Bachok, Kelantan dan tahan suspek untuk bantu siasatan yang dibebaskan dengan jaminan polis. Suspek pertama ditahan untuk bantu siasatan dan dituduh di Mahkamah Majistret Setiu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");