Berita Hari Ini

Kementerian ambil serius isu pergigian haram

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan kesal dengan tindakan sebilangan pihak yang memandang ringan tentang kesan pemasangan pendakap gigi (braces) oleh pengamal pergigian haram.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendakap gigi merupakan rawatan untuk membetulkan susunan gigi dan memperbaiki rahang yang tidak sempurna.

“Namun begitu, ada sesetengah masyarakat terutamanya golongan remaja yang melihatnya sebagai simbol kemewahan, status dan fesyen.

“Dan oleh sebab demikian, ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memberikan perkhidmatan dengan membuat temu janji pemasangan secara atas talian (online)disamping menawarkan harga rendah sedangkan mereka ini tidak berkelayakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa strategi digunakan oleh pihak berkenaan adalah dengan menawarkan rawatan cepat dan mudah disamping caj yang sangat rendah sehingga berjaya menarik ramai pelanggan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko dari aspek keselamatan serta komplikasi rawatan.

Menurut beliau, aktiviti berkenaan beroperasi secara haram dan modus operandi mereka adalah dengan berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Lokasi yang menjadi pilihan mereka untuk menjalankan aktiviti haram ini termasuklah hotel-hotel, rumah-rumah persinggahan, pusat-pusat kecantikan atau spa dan rumah-rumah kediaman.

“Lebih membimbangkan lagi adalah tahap kebersihan dan pembasmian kuman digunakan adalah meragukan.

“Antara kesan serta komplikasi dari rawatan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram adalah pergerakan gigi tanpa kawalan, kehilangan gigi, gusi bengkak dan bernanah,” katanya.

Selain itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa sehingga kini, terdapat 9 kes telah dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen tersebut di mana salah satu daripadanya telah mengakibatkan ‘Orang Kena Tuduh’ (OKT) dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Ujar beliau, perkhidmatan pergigian di premis tidak berdaftar adalah salah di bawah seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mereka ini adalah individu yang tidak mempunyai kelayakan, tidak layak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa juga rawatan pergigian,”katanya.

Tambahnya, orang awam juga disaran membuat aduan terus ke Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-883 4215 atau e-mel kepada [email protected] supaya tindakan undang-undang boleh diambil kepada pesalah berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");