Berita Hari Ini

Kementerian fokus langkah basmi pembiakan aedes

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan memfokuskan kepada negeri Johor dalam usaha melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan membasmi pembiakan nyamuk Aedes secara bersepadu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata semua aktiviti kawalan vektor akan diselaraskan bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dengan memberi tumpuan utama dalam mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes yang juga pembawa virus Zika.

Katanya ini adalah kerana beliau bimbang Johor mungkin menjadi pusat penyebaran wabak Zika memandangkan negeri itu sering menjadi tumpuan kemasukan rakyat Singapura serta rakyat tempatan yang berulang-alik untuk bekerja di republik berkenaan.

“Jadi, kita akan beri perhatian utama kepada Johor dalam usaha menghapuskan virus itu dan berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama penuh bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman mereka.

“Oleh itu, kita akan memberi fokus dan mempertingkatkan aktiviti kawalan di Johor sebelum diperluaskan ke kawasan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dana berjumlah RM800,000 kepada 124 badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini. Semalam, Dr Subramaniam mengesahkan seorang wanita berusia 27 tahun dari Taman Desa Harmoni, Johor Bahru menjadi mangsa pertama disahkan dijangkiti virus Zika melibatkan wanita mengandung.

Wanita mengandung itu merupakan kes ketiga yang direkodkan di Malaysia, selepas kes pertama yang dilaporkan merupakan kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang, Selangor manakala kes kedua merupakan kes jangkitan tempatan di Sabah.

Ditanya mengenai kewujudan vaksin bagi wabak Zika, beliau berkata walaupun beberapa negara telah melakukan kajian mengenai vaksin tetapi ia (vaksin) dijangka akan mengambil masa yang lama untuk sampai di Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata orang ramai mula bimbang terhadap penularan wabak Zika berbanding denggi, dan kebimbangan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan menjaga kebersihan kawasan rumah dan persekitaran.

Ditanya mengenai keputusan ujian suami wanita di Johor itu, Dr Subramaniam berkata, pihaknya akan mendapat keputusan untuk mengetahui sama ada suami wanita itu turut dijangkiti Zika, dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");