Jenayah

Lelaki aktif samun ditahan

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang disyaki aktif dalam jenayah ragut dan samun di sekitar kawasan Bandar Baru dan Ayer Itam, di sini sejak dua bulan lalu berjaya ditahan polis di rumahnya di Batu Uban, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas dia terlibat dalam kejadian ragut di Bandar Baru pada hari berkenaan.

“Dalam kejadian pada Rabu, lelaki yang tidak bekerja itu telah cuba meragut beg seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah pasar raya di situ dan ekoran insiden mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika begnya direntap suspek.

Seorang saksi yang kebetulan berada dilokasi dan melihat kejadian itu telah bertindak melanggar motosikal yang dinaiki suspek dan menyebabkan lelaki tersebut terjatuh, dia kemudiannya melarikan diri dengan beg tangan mangsa serta meninggalkan kenderaan (motosikal) berkenaan di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan dan risikan berpandukan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan lelaki itu, pihaknya telah berjaya menahan suspek di rumahnya pada jam 9 malam iaitu kira-kira enam jam selepas kejadian samun yang dilakukannya di Bandar Baru berkenaan.

Mior Faridalathrash berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu merupakan suspek yang sama terlibat dalam kejadian ragut sehingga menyebabkan seorang wanita warga emas patah tangan akibat terjatuh selepas beg tangannya direntap oleh suspek di Jalan Kampung Pisang, Ayer Itam di sini penghujung Ogos lalu.

Katanya hasil siasatan juga mendapati lelaki itu mengaku terlibat dalam lebih 10 kes ragut dan samun di sekitar daerah ini sejak dua bulan lepas.

“Susulan penahanan lelaki itu, polis berjaya merampas pelbagai jenama dompet duit wanita, beg tangan, aksesori wanita dan telefon bimbit di rumahnya dipercayai hasil samun serta ragut suspek,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang dipercayai bergerak sendirian menjalankan kegiatan jenayah itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");