IPOH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhada enam pertuduhan memperdagangkan enam wanita Thailand untuk tujuan eksploitasi seksual.
Chong Lim Fatt 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.
Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan itu di Kampar antara 3 hingga 18 Ogos 2016 yang lalu melibatkan enam wanita berumur sekitar 20 hingga 40 tahun.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) dan dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun atau denda.
Hakim menetapkan agar tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM35,000 bagi keenam-enam tuduhan tersebut dengan seorang penjamin selain daripada pasportnya juga ditarik.
Timbalan Pendakwa Raya diwakili oleh Muhammad Fauzi Md Yusof, Nurul Azriah Zaid dan Fadhli Ab Wahad manakala tertuduh telah diwakili oleh Peguam bela Bernard Francis.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 29 September ini.