Membawang Hari Ini

Memukau! Konsert Afgan serlah kehebatan diri

KEMERDUAN suara penyanyi kacak dari seberang, Afgan atau nama penuhnya, Afgansyah Reza benar-benar menyerlahkan ‘kuasanya’.

Jika tidak, masakan namanya begitu ‘melekat’ di hati penggemar muzik tanah air.

Buktinya, penyanyi berusia 27 tahun ini berjaya memukau 3,000 peminat menerusi Konsert Afgan Sides Live In Malaysia 2016, yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Melunaskan janji memberi kelainan, konsert anjuran Dazzling Lifestyle itu juga diadakan bersempena kelahiran album terbaharunya, Sides.

Tirai konsert dibuka oleh juara program realiti Mentor Milenia, Fareez yang mempertaruhkan single, Radio selain menyanyikan lagu terbaharu mentornya, Hazama iaitu Di Amaran Mama tepat jam 8.20 malam.

Tidak mahu peminat menunggu lama, Afgan menggamit perhatian menerusi lagu Bukan Cinta Biasa versi acapella sekali gus mewarnai suasana konsert dengan cara yang cukup unik.

Persembahan diteruskan dengan lagu Pesan Cinta dan Katakan Tidak. Menariknya, tidak hanya menyanyi, Afgan turut menghiburkan penonton dengan tarian yang bersahaja.

“Selamat malam, selamat datang orang Malaysia. Saya sangat menghargainya.

“Saya janji akan menghiburkan anda semua… Saya sayang kamu semua,” katanya sambil bercanda dengan peminat.

Sungguhpun ini bukan kali pertama Afgan mengadakan konsert di Malaysia, penyanyi yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini mengakui ‘takut’ untuk memulakan persembahan.

“Kalau dulu, saya agak tenang dalam memulakan konsert. Tapi, berbeza hari ini, saya cukup berdebar-debar.

“Sebelum ini, kamu semua (peminat) bagus-bagus, jadi saya perlu buat yang terbaik malam ini. Saya tidak sangka, ramai bangat (sangat) yang hadir,” katanya.

Terus menghangatkan suasana, Afgan berjaya membuatkan peminatnya seakan ‘histeria’ apabila mempersembahkan seleksi lagu-lagu popularnya seperti Betapa Aku Cinta Padamu, Dia Dia Dia, Bawalah Cintaku, Entah, Terima Kasih Cinta dan Jodoh Pasti Bertemu.

Tidak hanya itu, anak muda ini juga cukup cemerlang dalam membawakan lagu This Is Where You Came For yang dinyanyikan oleh Calvin Harris dan Can’t Stop The Feeling (Justin Bieber) biarpun hanyalah menerusi persembahan medley.

Menariknya, kredibiliti dan tenaga anak muda ini wajar dikagumi kerana mampu mengekalkan stamina untuk persembahan seterusnya.

Promosi album baharu

Bagai menunaikan janji, Afgan mengambil peluang mempromosikan album terbaharunya, Sides.

Penyanyi berlesung pipit ini turut mendendangkan beberapa lagu terbaharu seperti Rollercoaster, Knock Me Out, Tak Peduli, Kunci Hati, Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Percayalah, Setia Menunggu, Jalan Terus dan X duet bersama SonaOne.

Selain itu, SonaOne turut menyanyikan lagu Hakeleh.

“Semua lagu dalam album ini sangat istimewa kerana ia amat peribadi buat saya. Dalam album ini, saya tonjolkan diri daripada pelbagai sudut berbeza terutama sisi matang dan dewasa selain cuba mencipta lagu serta menulis lirik.

“Sudah tiba masanya untuk melakukan semua itu. Bahkan, saya rasa peminat juga harus tahu keadaan sebenar saya sama ada dalam sedih mahupun gembira.

“Saya tidak sabar untuk melihat reaksi kamu semua (peminat) apabila mendengar lagu-lagu terbaharu saya ini,” katanya.

Meneruskan lagi persembahan, Afgan memilih untuk menyanyikan lagu dari ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid berjudul Selamanya dengan sangat menyentuh jiwa.

“Saya dedikasikan lagu ini khas untuk beliau (Sheila). Terima kasih kerana menjadi kawan saya.

“Saya minat beliau sedari kecil. Dia idola saya. Saya tidak sangka beliau hadir malam ini. Harap kita bisa berteman dan terus menyanyi,” katanya sebak.

Lebih membanggakan, nyanyian Afgan bukan sahaja menerima tepukan gemuruh daripada peminat, tetapi turut mendapat ‘standing ovation’ daripada Sheila sendiri.

Afgan turut berkesempatan menyanyikan semula single terbaharu Yuna duet bersama penyanyi antarabangsa, Usher iaitu Crush dengan gaya tersendiri.

Mengakhiri konsert, Afgan memilih lagu Panah Asmara dan Jodoh Pasti Bertemu sebagai penutup.

Diselangi tarian rancak, paluan gendang, alunan saksofon, petikan gitar, keriangan bunyi dram, segalanya tampak indah dan sempurna sehingga membuatkan penonton mengerumuni hadapan pentas untuk melihat dengan lebih dekat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");