Jenayah

Nafas baru OAG

Bagi penggemar muzik alternatif rock tempatan, nama Old Automatic Garbage atau OAG bukanlah asing.

Malah, mereka juga dilabel sebagai antara band terawal yang berkecimpung dalam arena muzik ‘underground’ pada awal tahun 1990-an lalu.

Bermula dengan anggota seperti Radhi (penyanyi), Qi Razali (dram), Ivan (gitar), Ayie (gitar) dan Lam (bass) pada 1992, OAG mula mencipta nama dan mereka mula dikenali di arena muzik arus perdana menerusi lagu 60s TV daripada album sulung pada 1994.

Sejak itu anggota OAG bertukar ganti, hanya Radhi yang kekal membawa nama OAG termasuk menghasilkan album berbahasa Melayu pertama mereka berjudul Opera Radhi-o Friendly pada 2002.

Selepas agak lama menyepi dan Radhi lebih banyak tampil secara solo, baru-baru ini OAG muncul kembali dalam konsert OAG Merdekarnival di Ipoh, Perak sempena sambutan kemerdekaan.

Khabar gembira buat peminat OAG apabila mereka bakal kembali dengan sesuatu yang hebat bersempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan itu tahun depan.

Dua anggota asal OAG iaitu Radhi dan Qi kini bergabung dengan Nizam (gitar), Hazrin (bass) dan Izmir (keyboard). Sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan ini tahun depan, mereka merancang mengadakan konsert berskala besar.

Dalam persembahan anjuran syarikat milik Qi iaitu Timeline itu, ia dihadiri lebih 1,000 peminat dan di luar jangkaan OAG kerana diadakan di ruang yang kecil.

Menurut Qi yang juga pelakon popular, perancangan mengadakan persembahan di Ipoh ini dibuat sejak tiga bulan lalu.

“Selepas melalui banyak proses dan perbincangan membabitkan saya dan Radhi dengan beberapa pihak, baru kami yakin meneruskan projek ini.

“Bukan apa, ini adalah rangka pengenalan kepada konsert berskala besar yang dirancang pada tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-25 OAG. Aktiviti ini sedikit sebanyak membolehkan kami menghebahkan kepada peminat bahawa OAG tidak pernah berkubur.

“Apa yang mereka saksikan baru-baru ini ialah nafas baru kepada OAG. Biarpun hampir 25 tahun bertapak dalam bidang muzik, kami tidak pernah melupakan peminat yang sentiasa menyokong OAG biarpun anggota kumpulan bersilih ganti,” katanya.

Menurut Qi, dia juga berbangga apabila kebanyakan peminat yang hadir terdiri daripada mereka yang membesar dengan OAG termasuk kelompok peminat baru.

“Biarpun kumpulan ini hampir 25 tahun, saya melihat peminat OAG datang daripada pelbagai peringkat umur. Malah, ada antaranya kini bergelar doktor, profesor, pensyarah, guru, ketua pegawai eksekutif dan banyak lagi turut hadir menyaksikan persembahan.

“Ini sesuatu yang membanggakan kami. Sokongan yang diberikan membuatkan kami lebih yakin dan bersemangat untuk merealisasikan konsert itu pada tahun depan. Justeru, bermula sekarang kami merancang secara berperingkat,” katanya.

‘Reunion’ Qi dan Radhi

Persembahan di Ipoh juga itu menyaksikan ‘reunion’ OAG yang menemukan semula Qi dan Radhi.

“Jika diikutkan sudah 17 tahun saya tidak bermain muzik dengan OAG. Bukan apa, ketika itu saya beralih ke bidang lakonan dan pengacaraan. Jadi beberapa minggu sebelum persembahan saya berlatih lagu lama dan baru OAG.

“Memang agak kekok apatah lagi bermain lagu baru OAG, tetapi ia sangat menyeronokkan. Ia sekali gus membuktikan minat dan kecintaan saya terhadap muzik tidak pernah padam. Pada malam itu, 12 lagu yang dipersembahkan daripada enam album OAG sebelum ini,” katanya.

Menurut Qi, selain persembahan itu OAG kini muncul dengan buku berjudul The OAG Strory yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Sementara versi bahasa Malaysia masih dalam peringkat perbincangan.

Tidak cukup dengan itu, OAG juga dalam proses menghasilkan dua single baru berserta album ketujuh sempena ulang tahun mereka nanti.

“Banyak cabaran yang perlu dilalui untuk kami merealisasikan persembahan reunion ini. Bukan mudah nak mendapatkan kepercayaan pihak lain mengenai projek ini. Namun saya percaya dan yakin dengan idea sendiri.

“Insya-Allah sebelum OAG menginjak usia 25 tahun, kami merancang menerbitkan dua single disusuli dengan album penuh pada tahun depan. Seboleh-bolehnya kami mahu terdapat lagu baru yang dipersembahkan pada konsert itu nanti.

“Memandangkan ia bakal menjadi sebuah persembahan berskala besar, saya terfikir untuk menganjurkannya selama dua hari. Apatah lagi pada hari itu kesemua ahli yang pernah mengganggotai OAG iaitu 18 orang bergilir-gilir membuat persembahan,” katanya.

Selain OAG, OAG Merdekarnival turut menampilkan persembahan kumpulan Couple, Muck dan Balok People yang mana masing-masing membawakan lagu OAG.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");