Sukan Hari Ini

Natasha, Winnie teruja cabaran LPGA Malaysia

Kuala Lumpur: Dua pemain muda amatur negara, Natasha Andrea Onn dan Winnie Ng Yu Xuan tidak sabar berdepan pemain terbaik dunia kejohanan golf LPGA Malaysia Sime Darby di TPC Kuala Lumpur dari 27-30 Oktober depan.

Winnie, 15, dan Natasha, 14, muncul dua pemain terbaik bawah 16 tahun dalam pertandingan kelayakan di TPC Kuala Lumpur semalam, sekali gus mengesahkan tiket mereka di kejohanan menawarkan hadiah berjumlah AS$1.8 juta (RM7.44 juta).

Kejohanan LPGA Malaysia kali ini akan turut disertai tiga pemain terbaik dunia, Lydia Ko dari New Zealand, Ariya Jutanugarn (Thailand) dan Brooke Henderson (Kanada).

Winnie mengesahkan tiketnya selepas menduduki tangga keempat dengan sembilan atas par 151 manakala Natasha di kedudukan kelapan dengan 12 atas par 154.

“Saya sangat teruja kerana ia menjadi kejohanan paling besar yang juga acara LPGA pertama saya. Selepas ini, saya akan menyambung latihan untuk meningkatkan permainan, selain memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya yang pelajar Kolej Tuanku Ja’afar, Mantin.

Sementara itu, Natasha yang akan mengharungi acara pemanas badan di Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Thailand dari 11-13 Oktober, mempunyai rancangan di TPC Kuala Lumpur nanti.

“Saya pasti akan terpegun melihat aksi pemain terbaik dunia seperti Jessica (Korda) dan Lydia pada hari pertama. Saya akan cuba memulakan perbualan dengan mereka untuk mendapatkan sedikit nasihat kerana anda tidak akan mendapat peluang seperti ini sepanjang masa,” katanya.

Pertandingan kelayakan dua hari itu menyaksikan pendahulu hari pertama, Aretha Pan mengesahkan kejayaan selepas mencatat dua atas par 144 manakala Nur Durriyah Damian kedua dengan 147, tiga pukulan lebih baik daripada Ashley Lau Jen Wen di posisi ketiga, untuk menempah tiket ke kejohanan LPGA itu.

Selain lima pemain Malaysia itu serta tiga pemain terbaik dunia, pemain lain yang mengesahkan penyertaan mereka ialah juara bertahan, Korda, trio Korea Selatan, Sei Young Kim, In Gee Chun dan Amy Yang, Anna Nordqvist (Sweden), Brittany Lang, Stacy Lewis (Amerika Syarikat) dan Haru Nomura (Jepun). – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");