Jenayah

Nelayan tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar

KOTA TINGGI: Seorang nelayan di Kampung Teluk Ramunia di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus terbakar dalam kejadian petang semalam.

Difahamkan ketika kejadian, nelayan berkenaan baru pulang menangkap ikan bersama seorang anaknya.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Bandar Penawar, Abd Rahim Abdul Rani berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 2.03 petang oleh orang awam sebelum bergegas ke lokasi bersama enam anggota dengan sebuah jentera.

Menurutnya, sebaik sampai lokasi, api sudah marak membakar rumah separuh kekal itu sebelum anggotanya berjaya mengawal api kira-kira 20 minit kemudian.

“Kejadian disedari nelayan tersebut ketika hendak masuk ke dalam rumah selepas berehat bersama anaknya di luar sebaik pulang dari laut. Nelayan berkenaan ternampak asap dan api didalam rumah lalu terus meminta bantuan jiran-jiran.

“Ada di antara jiran yang membantu memadamkan api namun tidak berjaya. Ekoran itu, api marak telah menyebabkan kira-kira 90 peratus bahagian rumah itu terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Rahim berkata, beliau difahamkan mangsa baru kematian isteri beberapa bulan lepas dan ketika kejadian dia tinggal bertiga manakala tiga lagi anaknya sedang belajar.

Katanya, sewaktu kejadian berlaku juga seorang lagi anaknya tiada di rumah kerana keluar ke kedai membeli makanan.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang terdapat di rumah berkenaan juga turut terbakar dalam kejadian itu. Mangsa tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang berikutan api marak dengan cepat.

“Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan anggaran kerugian ekoran kebakaran berlaku,”katanya lagi.

Tambahnya, mangsa juga telah menerima bantuan segera daripada agensi berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga pihak wakil rakyat untuk meringankan beban.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");