Berita Hari Ini

Pendatang Syria: Malaysia minta bantuan Lubnan

NEW YORK: Malaysia telah meminta bantuan Lubnan dalam memenuhi janjinya untuk mengambil 3,000 pendatang Syria yang melarikan diri daripada negara mereka yang sedang bergolak.

Timbalan Perdana Menter,i Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Lubnan, sebuah negara dengan jumlah penduduk lebih empat juta orang, kini menempatkan kira-kira 1.5 juta pelarian Syria

“Ini merupakan satu beban buat Lubnan dan kami mengalu-alukan rakyat Syria ke negara kami atas dasar kemanusiaan sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri kami Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Lubnan Tammam Saeb Salam di luar sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Kuala Lumpur dan Beirut akan bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk pemeriksaan keselamatan bersama terhadap pendatang yang berpotensi dipindahkan sementara ke Malaysia.

Merujuk kepada sejumlah bayaran yang dikenakan ke atas rakyat Syria kerana tinggal melebihi masa, beliau berkata Lubnan telah meminta untuk melihat perkara ini bagi pendatang Syria yang berpotensi tinggal di Malaysia.

“Kami juga mahu Lubnan memberikan bantuan teknikal untuk membolehkan warga Syria terbang ke Malaysia,” kata Ahmad Zahid.

Malaysia setakat ini telah menerima 79 pendatang Syria dalam dua kumpulan sehingga Mei lepas, dan bakal menerima 421 pendatang lagi menjelang akhir tahun.

Kepada satu soalan, Ahmad Zahid berkata semua perlindungan, termasuk pemeriksaan keselamatan awal, sedang dan akan diambil untuk memastikan rakyat Syria yang dipindahkan ke Malaysia bebas daripada sebarang kaitan dengan kumpulan pengganas seperti Daesh.

Beliau berkata, Tammam menerima cadangan Malaysia, dan sejarah itu mungkin mempunyai peranan dalam perkara ini kerana bapa Perdana Menteri Lubnan itu pernah melawat Sri Aman ketika Tun Abdul Razak Hussein berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sri Taman merupakan nama bekas kediaman rasmi Tun Abdul Razak, perdana menteri Malaysia kedua dan bapa kepada perdana menteri kini, yang terletak di kawasan hijau di Kuala Lumpur.

Sementara itu, mengenai perbincangan dua hala dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi, Ahmad Zahid menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap kehadiran lebih daripada 150,000 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR di negara.

Timbalan perdana menteri melahirkan harapan agar badan pelarian dunia dapat membantu mempercepatkan proses penempatan semula mereka ke negara ketiga.

“Kami menyedari kekangan kewangan yang dihadapi UNHCR dan IOM (Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran), tetapi kami berharap bahawa PBB dapat membantu menyalurkan dana yang mencukupi untuk mereka mengendalikan pelarian bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain juga,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga merancang untuk menganjurkan persidangan antarabangsa bertujuan mencari penyelesaian tetap terhadap kehadiran hampir 60,000 etnik Rohingnya di negara itu.

Ahmad Zahid berkata pemimpin dari Myanmar serta sembilan lagi negara ASEAN dan wakil dari UNHCR, IOM dan organisasi berkaitan, akan dijemput menyertai persidangan itu.

Sehingga 31 Julai 2016, Malaysia masih menempatkan 151,596 orang yang perlu dilindungi (POC), termasuk pencari suaka dan pelarian dari 54 negara walaupun terma ‘pelarian’ tidak ditakrifkan di bawah mana-mana undang-undang domestik negara.- Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");