KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di sini, pagi ini bagi membantu siasatan kes langgar lari di Jalan Kolam dekat Luyang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.55 petang itu, penunggang motosikal terbabit melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang melintas jalan, menyebabkan mangsa tercampak.
Kejadian dirakamkan menerusi kamera dari sebuah kenderaan yang berhenti di lampu isyarat terbabit sebelum tersebar luas di laman sosial.
Pelajar perempuan dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian langgar lari di Jalan Kolam, Kota Kinabalu, Sabah, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata penunggang motosikal itu yang bekerja di sebuah restoran di sini, ditahan jam 8 pagi tadi ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.
Difahamkan akibat rempuhan itu, pelajar terbabit cedera di kepala, tangan dan kaki.
Chandra berkata, penunggang motosikal itu mendakwa bergegas ke tempat kerja di sebuah restoran di Karamunsing kerana syif bermula jam 6 petang.
-BH Online