Panasnya Hari Ini

Perbuatan ‘Tikam Belakang’ Beri Kesan Buruk Kepada UMNO

KUALA LUMPUR:Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan bahawa perbuatan ‘tikam belakang’ sesama ahli UMNO dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada kekuatan serta perpaduan parti.

Memetik sumber Astro Awani, ujarnya, sokongan kepada parti dan pemimpin hendaklah lahir daripada hati yang ikhlas kerana dengan cara demikian UMNO akan lebih bermaruah dan dihormati.

“Perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan kepada UMNO dan perlu dikenal pasti agar tidak menjadi barah yang boleh memudaratkan parti,” katanya. dalam .

Syed Ali menerusi catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya menjelaskan UMNO memerlukan ahli-ahli parti yang setia kepada pucuk pimpinan bagi memastikan ‘sokong tidak membawa rebah’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Kesetiaan kepada parti dan pucuk pimpinan merupakan kunci kepada kemenangan UMNO walaupun terdapat percanggahan pendapat atau perbezaan pandangan.

“Kita tidak mahu berlaku unsur-unsur atau perbuatan tikam belakang kerana ini hanya akan merosakkan perpaduan dan kepimpinan sedia ada,” tegasnya.

Katanya, walaupun terdapat sesetengah pihak beranggapan kadangkala keputusan atau tindakan pucuk pimpinan tidak selari dengan hasrat mereka tetapi perbezaan itu boleh diselesaikan secara berhemah.

“Tidak semua keputusan atau dasar serta tindakan pucuk pimpinan mampu memuaskan hati semua pihak, apatah lagi melihat kepada jumlah keahlian UMNO melebihi 3 juta orang.

“Dalam permasalahan begini, kita perlu utamakan kepentingan parti secara menyeluruh dan setia kepada pemimpin, bukannya terjerumus dengan agenda atau kepentingan peribadi.

“Kita ada saluran tertentu, boleh disuarakan secara sopan dan mengikut kaedah tertentu, bukannya mengambil jalan pintas dengan menikam belakang atau melakukan sabotaj terhadap parti,” ujarnya.

Tambah Syed Ali, adalah lebih bermaruah jika mengambil tindakan secara bertanggungjawab untuk keluar UMNO daripada berterusan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti.

“UMNO hanya memerlukan mereka yang benar-benar setia kepada parti dan pucuk pimpinan bagi menjamin gerak kerja menjelang PRU ke-14 tidak terencat.

“Fokus kita sekarang ialah memenangi PRU ke-14 akan datang dengan keputusan yang lebih cemerlang, tidak ada gunanya berebut tempat atau kedudukan tetapi UMNO kecundang pada pilihan raya,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata analisis pemerhati politik yang mendakwa beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU ke-13 berada dalam keadaan rapuh perlu diambil perhatian serius.

“Kita tidak boleh pandang mudah, biarpun sekadar analisis tetapi kajian itu dibuat bersandarkan kepada pemerhatian, sikap pengundi dan senario politik masa kini.

“Analisis atau pandangan koresponden bersabit kedudukan kerusi dimenangi UMNO itu sebenarnya satu manfaat kepada pemimpin terbabit untuk menguatkan lagi gerak kerja kepartian.

“Inilah ruang untuk ditambah baik ‘pangkalan politik’ di setiap kawasan dengan memastikan kepentingan rakyat atau pengundi sentiasa dipertingkatkan,” katanya.

Tambahnya lagi, inilah masanya kepada seluruh pemimpin UMNO termasuk komponen Barisan Nasional (BN) turun padang bertemu rakyat menjelaskan isu-isu semasa.

“Saya menyokong penuh saranan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan seluruh anggota BN khususnya UMNO turun padang bagi memastikan kemenangan lebih besar kepada BN pada PRU ke-14.

“Pemimpin UMNO juga perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi tafsiran atau gambaran kepada umum bahawa parti berada dalam keadaan lemah.

“Kita kena lebih agresif, meyakinkan rakyat bahawa UMNO sentiasa kuat dan mampu berdepan dengan cabaran serta serangan pembangkang,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");