Berita Hari Ini

‘Pindaan bukan pintu belakang hudud’

SHAH ALAM – Cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau Akta 355 bukan pintu belakang untuk melaksanakan hudud.

Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw sama ada pindaan Akta 355 akan menjadi pintu belakang bagi pelaksanaan hudud.

“Ini pindaan Akta 355 bukan ada hal yang lain. Apabila Yang Berhormat Tan Seng Giaw bertanya, adakah ini pintu belakang hudud?

“Jawapannya tidak, ini bukan pintu belakang untuk hudud tetapi ini Akta 355 yang dibawa melalui pintu depan, melalui Parlimen,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-41 bertajuk ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’, semalam.

Wacana di Auditorium Sultan Muhammad ke-V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf semalam menampilkan empat panel iaitu Jamil Khir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Pasukan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah MCA, Gan Ping Sieu.

Wacana dikendalikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad sebagai moderator.

Mengulas lanjut katanya, pindaan juga tidak melibatkan sebarang pertambahan lain termasuk hudud.

“Akta 355 adalah peruntukan untuk kesalahan sedia ada dan tiada langsung agenda tambahan,” katanya.

Menurutnya, pindaan juga dapat membuka ruang untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah terutama melibatkan hukuman yang dikenakan.

“Sekarang ini bagi kesalahan larikan anak dara orang, dendanya RM1,000. Bayangkan ibu bapa yang susah payah memelihara anak, tetapi orang yang melarikan anak mereka hanya kena denda RM1,000.

“Bayangkan juga, orang bawa ajaran sesat dan mengaku tuhan, dendanya hanya dua tahun penjara dan denda RM3,000. Sedangkan dia dah merosakkan akidah orang Islam, ini kesalahan berat.

“Jadi ini yang kita perlukan pindaan sebab mahkamah syariah perlu diangkat,” katanya.

Jamil Khir berkata, RUU persendirian dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga tidak dibentangkan begitu sahaja.

“Sebaliknya ia perlu diperjelaskan dan dibahaskan. Nanti semua ahli parlimen akan bahas ikut tajuk dan kemudian diundi.

“Jika majoriti menyokong, barulah ia menjadi RUU yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");