Jenayah

Redah api selamat MyKad

KAMPUNG MACHANG – Aidiladha bakal disambut minggu depan ternyata hambar buat seorang sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini setelah kediamannya musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, Munah Kasim, 55, yang ketika itu sendirian di rumah, hanya sempat menyelamatkan beg berisi kad pengenalan (MyKad) selepas nekad masuk semula ke dalam rumah setelah keluar meminta tolong daripada jiran.

Menurut ibu tunggal itu, dia yang ketika itu sedang bersiap-siap untuk tidur, keluar daripada bilik setelah terdengar letupan dan mendapati terdapat kepulan asap serta api di ruang berhampiran dapur.

“Hanya ALLAH SWT tahu perasaan saya ketika itu. Saya terus ke rumah jiran minta tolong dan kemudian pulang semula. Melihat api belum marak, saya beranikan diri masuk ke dalam rumah untuk selamatkan dokumen penting termasuk surat pajak.

Bagaimanapun, saya hanya sempat ambil beg berisi kad pengenalan di atas katil. Bimbang keselamatan diri sebab api marak begitu cepat.

“Kejadian berlaku sekelip mata, lebih kurang 15 minit rumah saya musnah, yang tinggal tangga dan ruang dapur sahaja. Saya tak boleh buat apa dan hanya mampu lihat rumah didiami lebih 30 tahun terbakar. Saya tinggal di sini bersama anak (Mohd Luhfi Shaari, 27), yang lain-lain dah berkeluarga, tetapi sewaktu kejadian, anak saya tiada di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Munah, dia bernasib baik kerana surat pajak disimpannya bersama al-Quran di dalam laci meja, tidak hangus berikutan kitab suci itu juga tidak terbakar sepenuhnya dan hanya hangus di bahagian tepi.

Tambahnya, berikutan kejadian itu, dia mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM80,000, selain tidak dapat mengambil tempahan tapai sebagaimana dilakukannya menjelang sambutan Aidilfitri atau Aidiladha sebelum ini.

Punca kebakaran masih disiasat

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK I Ishak Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12 tengah malam dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota, termasuk penyelia pasukan, yang menaiki dua jentera.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal. Operasi mengawal kebakaran tamat jam 1.41 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan dan kebakaran melibatkan kemusnahan 80 peratus,” katanya.

Bakal terima rumah baharu

Sementara itu, kesedihan Munah sedikit terubat apabila dia bakal menerima rumah bernilai kira-kira RM40,000 daripada kerajaan negeri, yang dimaklumkan sendiri Adun Ajil, Ghazali Taib ketika turun padang menziarahi mangsa di lokasi kejadian.

Menurut Ghazali, rumah itu akan dibina di lokasi sama secepat mungkin, selain bantuan segera turut disalurkan jabatan berkaitan seperti JKM dan Maidam bagi meringankan beban mangsa.

“Tapak rumah adalah hak milik mangsa dan tiada masalah untuk bina sebuah rumah sumbangan kerajaan negeri. Kita akan lakukan secepat mungkin, tetapi kita perlu tunggu laporan pihak forensik dan kerja pembersihan selesai dijalankan dahulu.

“Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Majlis Daerah Hulu Terengganu akan bersama melakukan kerja ini. Kita harap mangsa tabah menghadapi ujian-Nya. Bagi pihak kerajaan negeri, kita pasti akan sentiasa bantu rakyat,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Daerah yang baharu, Azmi Razik; Pegawai JKM Hulu Terengganu, Azmy Adenan dan pihak Maidam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");