Jenayah

Remaja dituduh sokong Daesh

SEPANG: Seorang remaja didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, berkaitan sokongan kepada kumpulan militan IS.

Syed Amir Asyraf Syed Hamdan, 20, yang bekerja sebagai pemandu lori, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi di sini.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh dengan pengetahuan memberi sokongan kepada IS menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) (green birds of jannah) antara 6 Mac hingga 27 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan pengetahuan menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas melalui aplikasi WhatsApp atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) dan Facebook dengan nama sama antara 6 Mac hingga 27 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh dengan niat melakukan perbuatan pengganas dengan membabitkan diri untuk melakukan serangan melalui perbualan dalam aplikasi WeChat atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) dan atas nama WeChat ID abu430 sebagai persediaan ke arah itu antara 9 Januari hingga 27 Ogos lalu.

Bagi kesalahan keempat, dia dituduh melalui aplikasi Telegram atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melakukan perbuatan pengganas menggunakan sebutir bom tangan, sepucuk pistol dan 24 butir peluru antara 16 hingga 27 Ogos lalu.

Bagi kesalahan kelima, dia dituduh memiliki gambar dan video berunsur perbuatan keganasan serta berkaitan kumpulan pengganas IS pada 27 Ogos lalu, jam 1.27 tengah hari.

Tiada pengakuan direkodkan dan Timbalan Pendakwa Raya Ching Heng Kher memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib menetapkan 26 Oktober ini bagi sebutan kes.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan iaitu memiliki sebutir bom tangan, sepucuk pistol dan 24 butir peluru hidup.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");