Isu Panas

RUU 355: Amanah sokong tapi Hadi kena jelaskan dulu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) tetap dengan pendirian mereka untuk menyokong segala usaha bagi memperkasakan undang-undang Mahkamah Syariah.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, namun begitu, usul yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu diperjelaskan terlebih dahulu secara terperinci serta implikasinya sebelum mendapat sokongan dari Amanah.

“Amanah inginkan satu jawapan yang jelas dan tuntas daripada Abdul Hadi dan jangan beri jawapan retorik,”katanya ketika sidang media yang berlangsung di Wisma Amanah hari ini.

Beliau berkata, walaupun Usul Persendirian yang dibawa Abdul Hadi dinyatakan mempunyai tujuan “memperkasakan mahkamah syariah”, namun isi kandungan usul tersebut perlu diperhalusi dari semua aspek sebelum ia mendapat sokongan Amanah.

Ujarnya, Amanah juga telah mengadakan beberapa program forum dan perbincangan meja bulat sejak pembacaan Usul Persendirian dibawa oleh Abdul Hadi berhubung RUU 355.

“Hasil dari program-program ini didapati telah timbul kekeliruan berhubung usul tersebut.

“Pada dasarnya kekeliruan ini disebabkan tindakan membaca usul tanpa dibahas dan dijelaskan maksud serta tujuannya,”katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, Usul Persendirian yang dibawa tersebut dikatakan untuk menyahut gesaan Yang Dipertuan Agong yang terkandung di dalam ucapan Baginda semasa perasmian pembukaan Dewan Rakyat untuk sesi tahun 2016

Namun, beliau memaklumkan bahawa berdasarkan petikan ucapan Baginda, apa yang ingin dicapai melalui pemerkasaan mahkamah syariah adalah kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam.

“Oleh itu apa jua tindakan yang didakwa sebagai menyahut gesaan Yang Dipertuan Agong semestinya mensasarkan halangan dan kekangan ini.

“Amanah ingin Abdul Hadi jelaskan halangan serta kekangan mana yang disasarkan oleh Usul Persendirian dibawa beliau dan bagaimana ia akan menambahkan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam oleh mahkamah syariah,” katanya.

Oleh sebab itu, Khalid berkata Amanah menginginkan satu jawapan yang jelas dan tuntas dari Abdul Hadi terhadap apa yang telah dikemukakan.

Katanya, sekiranya Abdul Hadi tidak mampu memberikan penjelasan yang mantap dan kukuh berhubung pindaan dicadangkan beliau, ia dikhuatiri akan dilihat sebagai ‘mainan politik’ semata-mata.

“Dan tiada yang lebih keji dari menjadikan agama bahan mainan politik,”katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");