Membawang Hari Ini

‘Saya maafkan dia’

Ikatan pertunangan sememangnya manis. Namun, jangan lupa di sebalik kemanisan itu ada ketikanya pasangan berdepan pelbagai pancaroba yang menguji kasih sayang dan kesetiaan mereka.

Itulah yang dilalui penyanyi Indah Ruhaila baru-baru ini. Selepas tiga tahun mengikat tali pertunangan dengan jejaka berusia 33 tahun, Indah berdepan dugaan apabila bakal suaminya diugut di Facebook.

Kongsi Indah, mesej berkenaan dihantar seorang peminat yang meminta tunangnya memutuskan hubungan demi masa depan karier nyanyiannya.

“Ketika membaca mesej itu, saya terkejut dan hairan bagaimana individu terbabit tahu akaun Facebook tunang saya. Selama ini saya tidak pernah mendedahkan identiti tunang kepada umum.

“Lagipun, saya jarang komen gambar atau status yang dimuat naik tunang kerana kami tidak suka menunjukkan kemesraan di laman sosial.

“Apabila tunang menghantar ‘screenshot’ itu, saya dapat rasakan ada yang tidak kena. Tunang saya suka memendam perasaan jadi saya tak tahu apa yang dia fikir. Bagaimanapun, saya yakin dia pasti terasa hati dan kurang senang dengan mesej itu,” katanya.

Kata Indah, sebaik menerima kiriman mesej daripada tunangnya, dia segera menjernihkan suasana.

“Selama ini hubungan kami tak ada sebarang masalah. Malah kami sangat bahagia bersama kerana sejak dulu dia menyokong karier saya.

“Kadangkala dia selalu berkongsi pandangan dan idea untuk memajukan lagi kerjaya saya. Apabila perkara ini berlaku sudah tentu saya rasa bersalah.

“Namun saya sudah jelaskan perkara sebenar supaya dia tidak terasa hati dan tidak perlu melayan komen negatif peminat,” katanya yang akan mendirikan rumah tangga tahun depan.

Sambung Indah, dia sudah memaafkan peminat berkenaan dan berharap tiada masalah lagi yang akan timbul selepas ini.

Mengulas perkembangan terkini kerjayanya, Indah kini tampil dengan single ketiga berjudul Semua Untuk Cinta ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Memandangkan single keduanya sebelum ini kurang menjadi, Indah berdebar menanti maklum balas peminat terhadap single terbaru itu.

“Sukar menandingi impak single pertama Percayalah, tapi berharap lagu yang menyingkap kisah cinta dan perjalanan hidup saya ini diterima ramai.

“Lagipun, ketika mula-mula mendengar lagu ini, saya jatuh cinta dengan melodi dan liriknya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");