Sukan Hari Ini

Sedia terkam lawan

Johor Bahru: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Hariss Harun menyifatkan dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menentang Bengaluru FC pada aksi separuh akhir pertama Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.

Dia yang tidak diturunkan ketika Harimau Selatan membelasah T-Team 5-1 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu akibat penggantungan, berazam memastikan tuan rumah meraih kemenangan untuk membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Bangalore, India, pada 19 Oktober depan.

“Saya sudah cukup rehat dan kini bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan yang amat penting buat Johor DT dan pastinya saya dan rakan sepasukan bertekad memberi persembahan terbaik untuk memburu kemenangan.

“Menjuarai Liga Super tiga musim berturut-turut adalah saat paling indah buat kami, namun ada tugasan yang lebih penting perlu diharungi.

“Malah, kami sudah menjalani latihan rapi untuk menghadapi kelab India itu. Kami perlu memastikan mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.

Ditanya seandainya kapten Safiq Rahim tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, Hariss menganggap skuad itu tidak akan berdepan masalah kerana memiliki pengganti berwibawa seperti Amirul Hadi Zainal dan Gary Steven Robbat.

Sementara itu, pengendali Johor DT Mario Gomez mengesahkan pemain bek kanan S Kunanlan terpaksa diketepikan akibat kecederaan dialami ketika menentang South China AA pada aksi suku akhir kedua di Larkin, 22 September lalu.

Malah, beliau juga berharap Safiq dapat diturunkan selepas pemain itu dilihat semakin pulih, namun kedudukan kapten Johor DT hanya akan ditentukan selepas sesi latihan terakhir.

“Kita akan berdepan skuad berbeza berbanding ketika menang dua perlawanan pada aksi Kumpulan H dalam saingan peringkat kumpulan, malah formasi mereka juga tidak seperti dulu.

“Jika dulu mereka gemar dengan formasi 5-3-2, kini formasi 4-4-2 pula diamalkan dan sama seperti kami, Johor DT,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");