Berita Hari Ini

Selangor lulus bajet perkuat benteng persisir pantai

KLANG – Kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menambah baik benteng dan ban di persisir pantainya bagi menangani fenomena air pasang besar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri untuk memperbaiki benteng dan ban yang pecah atau bocor secepat mungkin kerana fenomena yang sama dijangka bakal berulang.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada Lembaga Urus Air Selangor, fenomena ini dijangka berulang pada pertengahan bulan hadapan, November dan Disember. Keutamaan akan diberi kepada ban serta benteng yang berhampiran kawasan kampung yang mudah banjir seperti di sini,” katanya kepada pemberita.

Beliau melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, Kapar.

Setakat jam 9 pagi tadi, seramai 221 mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan di sekitar negeri ini yang penduduk Kampung Tok Muda merupakan yang paling ramai terjejas iaitu seramai 152 orang daripada 34 keluarga.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar sebelum ini dilapor telah meminta kerjasama daripada kerajaan negeri Selangor bagi mengatasi masalah banjir yang berpunca daripada fenomena air pasang besar.

Menurut Noh, ia termasuk menambah baik ban dan benteng di pesisir pantai berikutan fenomena kali ini yang menyebabkan beberapa kawasan di lima daerah di Selangor dinaiki air.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");