Alor Setar: Polis menumpaskan geng curi dikenali Kumpulan Gagak Rimba yang terbabit 136 kes curi dengan jumlah kerugian hampir RM50,000 dalam beberapa serbuan bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kumpulan suspek teridiri daripada lima lelaki berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan antara 21 hingga 28 Ogos lalu di sekitar daerah ini.
Katanya, suspek menyasarkan pengunjung yang meletakkan barangan berharga dalam ruang simpanan motosikal di Taman Rimba Alor Setar, dekat sini .
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah mengumpil motosikal yang diletak di taman itu dan mencuri pelbagai barangan berharga seperti telefon bimbit, tablet, kad kredit, kad bank dan wang tunai.
“Kejadian curi ini kita kesan sejak Januari lalu dan pada awal Ogos kita menangkap dua ahli kumpulan ini.
“Susulan siasatan yang kita buat sepanjang sebulan dengan fokus kumpulan ini, berjaya menahan tiga lagi suspek, menjadikan keseluruhan lima tangkapan.
“Hasil soal siasat, kita dapati sebanyak 136 kes curi yang dilapor berlaku di Taman Rimba Alor Setar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kota Setar, di sini, hari ini.
Mohd Rozi berkata, semua suspek didapati positif dadah syabu dan mencuri serta menjual barangan terbabit untuk mendapat wang bagi membeli bekalan dadah.
“Pada masa sama kita mengesan pelbagai barangan yang dipercayai dijual di pasaran gelap serta dua lagisuspek ahli kumpulan ini.
“Kita percaya jika dapat tangkap semua mereka ini, saya boleh katakan kes jenayah di Taman Timba ini dihapuskan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-Harian Metro