Berita Hari Ini

Serah Pendrive Kepada SPRM Bukan Campur Tangan Kerajaan – KJ

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan tindakan beliau menyerahkan isi kandungan dalam pemacu pena (pendrive) yang didakwa mengandungi bukti rasuah berkaitan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan bermaksud kerajaan campur tangan dalam perkara itu.

Sebaliknya, Khairy berkata beliau terpaksa bertindak demikian kerana wujud tanggapan awam dan dakwaan mengatakan ada bukti rasuah di dalam pemacu pena itu.

“Ini bukan campur tangan kerajaan. Campur tangan adalah apabila kerajaan campur tangan dalam pemilihan FAM, polisi dan juga pengurusan FAM. Itulah campur tangan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Milo selaku penaja Perak untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean kesembilan (KL2017) di sini Isnin.

Khairy berkata demikian bagi mengulas kenyataan Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan yang mendakwa pembabitan Khairy dan SPRM dalam isu pemacu pena itu boleh menjurus kepada campur tangan kerajaan.

Jelas Khairy, bagi mengesahkan tiada bukti rasuah dalam pemacu pena itu maka ia perlu disiasat secara telus oleh SPRM.

“Tiada mana-mana pihak atau individu termasuklah persatuan sukan yang juga ahli gabungan persatuan sukan antarabangsa yang kebal daripada undang-undang rasuah dalam negara kita.

“Takkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) nak kata FAM kena kebal daripada segala undang-undang atau siasatan. Itu tidak masuk akal,” katanya.

Tegas beliau, apabila wujud tanggapan awam bahawa pemacu pena itu mengandungi bukti rasuah membabitkan FAM maka ia tidak boleh diselesaikan oleh Fifa.

“Fifa perlu faham apabila persatuan sukan itu berpangkalan di sebuah negara, maka ia perlu mematuhi undang-undang negara berkenaan.

“Saya tak kata ada bukti rasuah, saya hanya kata saya perlu serahkan pemacu pena itu kerana tanggapan awam yang mengatakan ada bukti rasuah di dalamnya,” katanya.

Justeru, Khairy meminta agar orang ramai berhenti membangkitkan sebarang spekulasi berhubung isu pemacu pena itu dan menyerahkan kepada SPRM untuk membuat pengumuman mengenainya.

“Apabila berkaitan tuduhan undang-undang, anda melanggarinya maka anda perlu disiasat. Saya fikir mereka yang cuba bangkitkan Fifa dan FAM, saya mahu anda tahu, kita faham apa kita buat,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Khairy menyerahkan pemacu pena dan senaskah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Khairy berkata, pendrive serta naskah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana yang diterimanya daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas. -mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");