Sukan Hari Ini

The Titans bukan pelengkap

TIDAK keterlaluan untuk memperkatakan kehadiran pasukan berstatus kelab T-Team dalam mewarnai kembali saingan Liga Super dianggap sekadar menjadi pelengkap kepada 12 pasukan bersaing musim ini berbanding pasukan gergasi yang rata-rata memiliki nama besar dalam arena bola sepak negara.

Begitu pun pasukan kecil berjiwa besar itu bukan sahaja berjaya mengharungi saingan yang lebih mencabar musim ini malah mampu berada di kedudukan terbaik carta liga sedangkan beberapa pasukan lain termasuk kem ‘abang’ Terengganu masih bergelut dalam zon penyingkiran.

Apa yang lebih membanggakan skuad The Titans itu juga berjaya mengulangi pencapaian terbaik mereka lima tahun lalu apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mengecewakan naib juara Liga Super, Felda United di gelanggang lawan, Sabtu lalu.

Kejayaan tersebut sekali gus membuka mata bukan sahaja dalam kalangan pasukan yang bersaing, malah penyokong bola sepak di Terengganu turut mula memberi perhatian kepada skuad kendalian bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia itu setelah menjadi wakil tunggal bagi kem dari pantai timur untuk terus bersaing dalam merebut gelaran juara Piala Malaysia musim ini.

ENGGAN DABIK DADA

BAGAIMANAPUN, tunjang utama kem The Titans, Rahmad Darmawan masih mengamalkan sikap merendah diri dengan kejayaan yang dilakarkan anak buahnya dan lebih gemar dilabel sebagai pasukan bukan pilihan, meskipun beberapa pemain muda mereka turut dipanggil menggalas tanggungjawab negara ke saingan antarabangsa.

Baginya, apa yang lebih penting pemain tidak boleh cepat berasa puas hati dengan setiap kejayaan yang dilakarkan, sebaliknya perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan selain terus komited dalam memburu kemenangan setiap kali turun bertemu lawan.

Mengakui mendapat suntikan semangat terbaik selepas mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini, pengendali berusia 50 tahun itu tetap menuntut anak buahnya agar tidak cepat ‘lupa diri’ lebih-lebih lagi bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta’azim (JDT) di gelanggang lawan, malam nanti.

ATUR STRATEGI

MENCONGAK tentangan sengit bakal diberikan pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu, Rahmad telah melakukan percaturan terbaik agar skuad bimbingannya tidak pulang dengan tangan kosong dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan liga.

Bakal pertaruhkan barisan terkuatnya, benteng pertahanan pasukan sekali lagi ditagih untuk mengunci pergerakan jentera serangan kem Harimau Selatan sebagaimana dibuktikan ketika mereka mengaibkan Felda United di gelanggang sendiri, 10 September lalu.

Apa yang pasti, Rahmad turut mengharapkan skuad kendaliannya itu dapat mengekalkan motivasi untuk terus melakarkan kemenangan, meskipun bakal berdepan tentangan hebat bukan sahaja daripada pemain bahkan juga ribuan penyokong mereka sendiri.

“Kita tahu JDT ketika ini masih mengekalkan rekod terbaik mereka, bagaimanapun bagi saya pemain tidak perlu memikirkan soal keputusan itu, sebaliknya memberikan komitmen lebih 100 peratus sehingga tamat perlawanan.

“Sekiranya pemain dapat melakukan tanggungjawab mereka sebagaimana yang telah dirancangkan, saya fikir ia bukan sesuatu yang mustahil untuk kita buktikan bahawa T-Team juga mampu menjadi pasukan digeruni,” katanya.

Pada perlawanan yang bakal menjadi tumpuan itu, pastinya T-Team menagih khidmat pemain importnya diketuai gandingan jentera serangan, Patrick Dos Santos dan Makan Konate, Dilshod Sharofetdinov (tengah), Maiga Abdoulaye Youssouf (pertahanan), selain barisan pemain tempatan yang berwiba dalam menyahut cabaran JDT malam nanti.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");