Perak Hari Ini

12 Kanak-Kanak Perempuan Diselamatkan

IPOH: Seramai 12 orang kanak-kanak perempuan tempatan berumur lingkungan 11 hingga 13 tahun berjaya diselamatkan dalam satu Op Pintas yang diadakan di sekitar bandaraya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, Op Pintas itu turut disertai oleh Bahagian D7, JSJ Perak bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ujarnya, kanak-kanak yang diselamatkan itu disyaki menjadi mangsa pemerdagangan di bawah Seksyen 44, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migram (ATIPSOM) 2007 (Eksploitasi Kanak-kanak).

“Melalui operasi ini juga kita berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita, lingkungan umur 40-an kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan orang melalui eksploitasi kanak-kanak untuk dijadikan sebagai peminta sedekah atau menjual ubat-ubatan herba dan kalendar Islam.

“Kedua-duanya telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 8 oktober 2015 untuk direman selama lima hari yang dijangka berakhir pada 12 Oktober hadapan,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, kesemua mangsa akan ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak dan wanita di Rembau, Negeri Sembilan dari 8 Oktober hingga 28 Oktober hadapan atas perintah mahkamah.

Gan berkata lagi, pihaknya turut merampas 376 buah botol ubat herba atau minyak gel, dua buah kereta jenis Exora, wang tunai lebih kurang RM2,993.80 dan sebanyak 10 keping  wang Rupiah RP100,000.

Turut dirampas ialah dua buah telefon bimbit, kunci rumah, satu buku catatan hasil kutipan yang diperolehi mangsa, dan dua buah passport.

“Kedua-dua suspek yang terlibat akan disiasat di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007 iaitu kesalahan pemerdagangan kanak-kanak.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari tiga tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda,”katanya.

Beliau berkata, JSJ Perak akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dalam membanteras kes-kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih tegas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");