Jenayah

2 beranak cedera ‘bertarung’ dengan peragut

BALING: Dua beranak cedera di tangan dan kaki apabila motosikal ditunggang mereka terbabas selepas diragut seorang lelaki di Jalan Baling-Kupang, berdekatan pekan lama Pulai, tengah hari tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika Shakinah Md Derani, 42, dari Kampung Setol, Pulai bersama anak perempuannya, Nurul Izzati Ibrahim,16, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah farmasi di pekan Baling.

Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku apabila seorang lelaki bermotosikal cuba meragut beg di riba Shakinah, yang membonceng motosikal ditunggang anaknya.

Berlaku tarik-menarik antara Shakinah dan suspek sehingga menyebabkan motosikal dua beranak berkenaan terbabas.

Akibat kejadian itu, Nurul Izzati cedera di dahi, kedua-dua lutut, siku dan tangan, manakala Shakinah pula cedera pada kedua-dua kaki dan tangan, selain paha sebelah kanan.

Mereka kemudian dihantar ke Hospital Baling dengan bantuan penduduk untuk rawatan.

Kejadian menimpa dua beranak itu turut dimuat naik ke laman sosial Facebook sehingga menjadi viral dengan beberapa foto suspek yang dicekup penduduk turut disertakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf, mengesahkan kejadian itu, termasuk tangkapan ke atas lelaki yang dipercayai suspek.

“Suspek yang turut cedera selepas diberkas penduduk, dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");