Isu Panas

Adun Lenggeng percaya ada usaha jatuhkannya

SEREMBAN – Adun Lenggeng, Datuk Ishak Ismail mendakwa kawasannya dianaktirikan kerajaan negeri termasuk kesukaran mendapat peruntukan berbanding kawasan BN yang lain.

Beliau berkata, kelewatan menerima peruntukan kerajaan selalu melibatkan kawasan Dun Lenggeng, sedangkan kawasan lain tiada masalah.

“Kalau ikutkan peruntukan setelah dipersetujui wakil rakyat kawasan, kerajaan boleh keluarkan cek dalam tempoh dua minggu. Tetapi kenapa kawasan saya, sampai tiga hingga empat bulan sedangkan kawasan lain cepat.

Beliau mengambil contoh sebuah program diadakan di sebuah sekolah yang terletak kawasannya sehingga mengundang masalah kepadanya.

“Sebelum ini saya nak buat program UPSR, saya sudah setuju dengan guru besar pada bulan Jun. Tetapi cek sampai dua hari selepas habis UPSR. Tindakan melewatkan peruntukan itu dipercayai bertujuan untuk membuatkan orang ramai marah kepada saya,” katanya.

Ishak berkata, beliau percaya ia sengaja dilakukan pihak terbabit.

“Ada usaha orang tertentu nak jatuhkan saya. Kawasan saya dipermain-mainkan. Bukan itu sahaja, banyak majlis di kawasan Lenggeng, saya tidak dimaklumkan walaupun saya wakil rakyat.

“Program di sekolah ini pun saya tidak dijemput sedangkan saya dahulu sekolah di sini. Ini sekolah saya tetapi saya dilarang masuk sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Catur Terbuka Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai, Jalan Jelebu, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 138 murid dari enam negeri menyertai Pertandingan Catur Peringkat Kebangsaan, manakala 20 murid dari tujuh sekolah menyertai Pertandingan Sahibba Peringkat Daerah Seremban.

Hadir sama, Guru Besar, Siti Mariyam Othman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kapten (B) Hasni Harun.

Sementara itu, Setiausaha Umno negeri, Datuk Hasim Rusdi ketika dihubungi Sinar Harian berkata, peruntukan Dun biasanya diperolehi lewat hingga tiga atau empat bulan.

“Peruntukan setiap Dun akan diluluskan Pegawai Kewangan Negeri dan proses ini biasanya mengambil masa kerana semakan teliti perlu dibuat.

“Kawasan Dun saya juga lewat hingga tiga atau empat bulan. Kalau kita nak cepat, kena selalu follow up supaya proses menjadi cepat,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu kelewatan peruntukan sengaja dilengah-lengahkan kerana hampir semua kawasan Dun menghadapi situasi sama.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");