Berita Hari Ini

Bau busuk akibat jiran bela 30 ekor kucing di rumah

SUBANG JAYA: Memelihara haiwan sememangnya baik, namun pemiliknya hendaklah menjaga hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada haiwan peliharaannya.

Bagi penduduk di kawasan perumahan dekat USJ 13, sebuah rumah telah dijadikan tempat tinggal untuk haiwan peliharaan tuan rumah tersebut.

Namun, lebih 20 ekor kucing dibiarkan tinggal di rumah berkenaan sehingga menghasilkan bau busuk yang tidak menyenangkan bagi jiran di kawasan sekitar.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, selain bau busuk yang meloyakan, kawasan sekitar rumah tersebut turut dibiarkan tidak diselenggara.

Lebih teruk lagi terdapat beberapa ekor kucing yang tinggal dalam rumah berkenaan dilihat dalam kedudukan amat tidak sihat biarpun terdapat makanan dan minuman yang cukup untuk mereka.

Bagi seorang penduduk yang dikenali sebagai Lau Chan Choi, keadaan ini telah berlarutan sejak lebih setahun lalu.

“Kita dah buat laporan rasmi sejak hujung tahun lepas kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkenaan isu ini.

“Tetapi, kita ada nampak beberapa pegawai MPSJ, Jabatan Kesihatan dan Pusat Kebajikan Haiwan (SPCA) datang untuk meninjau kawasan rumah ini.

“Tuan rumah ini ada mengupah seorang warga asing untuk mencuci rumah ini, tetapi sebulan dalam dua kali saja,” jelasnya kepada Astro AWANI hari ini.

Tambah Chan Choi, beliau tidak menyangkal rasa sayang tuan rumah ini kepada kucing, tetapi ianya perlu berpada-pada agar tidak menjejaskan kesihatan jiran sekeliling.

“Memang di gila kucing, tapi dia beri seribu alasa untuk menafikan bahawa hampir 30 ekor kucing ini dibiar tanpa dijaga dengan baik,” tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Santhi Subramaniam berkata, bau busuk yang terhasil menyebabkan dia dan keluarga hilang selera untuk makan di rumah.

“Saya terpaksa makan di luar apabila bau yang sangat kuat ini menyebabkan saya dan keluarga hilang selera makan terutamanya di waktu tengahari.

“Kami kini menghadapi situasi yang amat mencabar mental dan fizikal sejak setahun lalu,” jelasnya.

Laporan yang dibuat Chan Choi kepada MPSJ telah mendapat maklumbalas menerusi email yang yang memberitahu;
“Siasatan susulan telah dijalankan pada 29 Disember 2016, jam 11.15 pagi, pemilik telah mematuhi notis yang dikeluarkan pada 22 Disember 2015.”

Astro Awani cuba mendapatkan maklum balas daripada pemilik rumah berkenaan tetapi tiada jawapan diberikan.

Namun, menerusi laman Facebook miliknya, beliau telah mengakui menerima notis daripada pihak MPSJ dan SPCA berhubung isu ini.

Malah beliau ada meminta tempoh sehingga dua bulan untuk menyelesaikan masalah bau di rumahnya dalam pertemuannya bersama jiran (termasuk Chan Choi dan Santhi).-astro awani

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");