Sukan Hari Ini

Bersukan mampu elak sindrom 4K

MACHANG: Mahasiswa perlu aktif bersukan bagi mengelakkan mereka diancam dengan sindrom 4K.

4K itu adalah kuliah (kononnya hanya hadir mendengar syarahan, itu pun tidak fokus), kafeteria (hanya duduk membuang masa dengan melepak), katil (bersahabat baik dengan katil dan tidur melampau) dan komputer (hanya duduk dalam dunia maya sendiri, melayan media sosial dan tidak mahu bercampur gaul).

Rektor Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan, Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan berkata, mahasiswa perlu lebih aktif dan menjadikan kehidupan kampus untuk bermasyarakat dengan menjayakan aktiviti bermanfaat sekali gus mengelakkan sindrom berkenaan.

Menurutnya, tempoh dua hingga lima tahun kehidupan kampus haruslah dimanfaatkan sepenuhnya dengan menimba ilmu pengetahuan dalam bilik kuliah dan mencari pengalaman dalam aktiviti di luar bilik kuliah.

Malah katanya, ideologi lama yang mengatakan mahasiswa perlu berbakti kepada masyarakat selepas meninggalkan kampus juga perlu diubah dengan memupuk semangat kesukarelaan sejak dari awal.

“Sindrom 4K heboh diperkatakan pada hari ini, justeru saya menggalakkan penuntut dan pensyarah mengamalkan senaman ringkas sebelum memulakan kuliah dalam usaha membantu penuntut lebih cergas serta fokus semasa sesi kuliah.

“Jika kita melakukan aktiviti sukan sekurang-kurangnya 10 minit, badan akan merembeskan sejenis hormon yang mampu menceriakan kita. Jika ingin kelihatan ceria dan awet muda, bersukan adalah jawapannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat daerah Machang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang di sini, semalam.

Kira-kira 1,000 penuntut, pensyarah dan masyarakat menjayakan program tersebut termasuk menyertai aktiviti 10,000 langkah dan pelbagai aktiviti lain.

Hadir sama, Pegawai Belia dan Sukan Machang, Azman Yahya dan Timbalan Ketua Jajahan Machang, Mohd Naim Ali.

Lebih 12 acara sukan diadakan sempena Hari Sukan Negara yang bukan hanya melibatkan warga UiTM tetapi juga masyarakat sekitar.

Acara dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan aktiviti senamrobik melibatkan penyertaan kira-kira 500 peserta.

Tuan Mohd Rosli berkata, penglibatan dalam bidang sukan juga menjadi nilai tambah kepada mahasiswa untuk bersaing dalam bidang pekerjaan.

Katanya, graduan yang berkebolehan dalam pelbagai bidang menjadi keutamaan majikan berbanding graduan lain.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");