Membawang Hari Ini

Bukan mahu raih perhatian

Azharina yang meraih kembali populariti selepas menyertai Gegar Vaganza 3 (GV3) tidak kisah untuk mendedahkan dirinya sebagai orang kampung.

Malah, penyanyi berusia 31 tahun yang popular dengan lagu Elergi Sepi ini lebih selesa jika peminat dan orang sekeliling mengetahui perkara itu tanpa perlu mendengar pelbagai versi mengenai kehidupannya daripada pihak lain.

“Saya tak malu untuk memberitahu semua orang saya orang kampung. Tidak ada apa yang perlu disorokkan kerana itu adalah hakikat sebenar. Malah, orang sekeliling yang rapat dengan saya pun tahu mengenai perkara itu.

“Namun, masih ada segelintir pihak yang tidak percaya hanya disebabkan kehidupan saya sekarang. Untuk makluman segala apa yang dimiliki itu adalah hasil kerja keras dan titik peluh sendiri.

“Lagipun, itu bukan bermaksud ia boleh memadam asal usul saya. Saya masih sama seperti dahulu. Kalau ada yang bercerita mengenai saya, itu daripada mereka dan bukan daripada mulut saya sendiri. Bukan apa saya tak pernah bermegah atau menunjuk kepada orang apa yang dimiliki,” katanya.

Menurut Azharina, ibunya sentiasa berpesan agar jangan lupa diri. Itu sentiasa menjadi peringatan untuk dirinya.

Pada masa sama, Azharina atau lebih mesra disapa Nina juga menafikan tindakannya menghebahkan dia orang kampung adalah untuk meraih perhatian penonton pada program GV3.

Dalam pada itu, Azharina juga berkongsi yang dia kini dalam proses mendapatkan bentuk tubuh langsing.

“Kalau nak tahu sejak saya menyusukan anak berat badan naik mendadak. Apabila mendapat tawaran menyertai program GV3 ini, saya nekad untuk kurus.

“Alhamdulillah, saya berjaya menurunkan berat badan lima kilogram sebelum pertandingan bermula. Saya tidak melakukan aktiviti senaman sebaliknya menjalani rawatan dari sebuah pusat kecantikan. Bukan apa, saya tak ada masa untuk berjoging atau melakukan aktiviti seumpamanya,” katanya.

Menerusi rawatan itu, Azharina memberitahu dia perlu mendapatkan suntikan tiga kali seminggu.

Vokal menyengat

Saingan pada minggu kedua GV3 semakin hangat apabila setiap peserta mulai menunjukkan taring masing-masing.

Azharina yang sememangnya dikenali dengan kualiti vokal yang unik ternyata memukau hati juri menerusi lagu Sinaran dendangan asal Datuk Sheila Majid.

Ia sekali gus melayakkan Azharina dipilih sebagai pemenang Vokal Menyengat pada persembahan minggu kedua.

“Saya memang tak menjangka perkara ini kerana setiap peserta memiliki keunikan dan kelebihan masing-masing. Apatah lagi Nora dan Siti Sarah yang diakui kelantangan vokal mereka.

“Setiap minggu saya cuba menyampaikan lagu tugasan dengan terbaik. Apabila minggu kedua saya dipilih sebagai Vokal Menyengat, ini satu penghormatan daripada juri buat saya. Pada masa sama ia rezeki anak saya,” katanya.

Menurut Azharina, persembahannya itu mengembalikan nostalgia 15 tahun lalu apabila menjuarai pertandingan Bintang RTM 2001 juga menerusi lagu Sinaran.

“Ketika menjuarai pertandingan itu saya baru berusia 16 tahun. Pada waktu itu tahap stamina saya jauh berbeza jika dibandingkan sekarang. Jadi tak adil sekiranya nak membandingkan usia dahulu dengan sekarang.

“Cuma apa saya boleh katakan, lagu itu memang mengembalikan memori. Lagu itu juga yang membawa saya sehingga berada pada tahap sekarang,” katanya.

Minggu ini Azharina diberi cabaran menyanyikan lagu No Woman No Cry nyanyian asal Bob Marley. -Sudirman Mohd Tahir

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");