Sukan Hari Ini

Carolina ukir nama bintang dunia

WALAUPUN dilahirkan di negara yang dingin terhadap badminton sebaliknya lebih menggilai bola sepak, Sepanyol, namun Carolina Marin membuka mata semua pihak dengan memahat nama sebagai bintang dunia.

Manakan tidak, Carolina yang berusia 23 tahun berjaya mengejutkan pemain dari negara yang dianggap kuasa badminton seperti China, Korea Selatan, Jepun, Denmark, Indonesia sekali gus meletakkan dia menduduki ranking nombor satu dunia ketika ini.

Bukan itu sahaja, dia turut muncul pemain wanita pertama Eropah yang meraih pingat emas sukan badminton di pentas Olimpik 2016.

Dia juga telah pun menjuarai dua Kejohanan Dunia di samping di nobat juara Eropah dalam tempoh tiga tahun ini.

Sepanjang tahun 2015 saja, Carolina sudah meraih tujuh kejuaraan termasuk trofi Seluruh England ketika usianya yang masih muda.

Bagaimanapun, semua pencapaian itu memerlukan pengorbanan kerana Carolina tidak seperti remaja lain apabila hanya berkawan dengan gelanggang keras, raket dan bulu tangkis.

“Kehidupan saya hanya berlatih dan tidur. Setiap hari saya akan berlatih selama lapan jam. Dan saya tiada masa untuk berseronok seperti orang lain.

“Sudah pasti kita sedih lalui semua itu, dan jauh di sudut hati mahu bersama kawan-kawan tapi saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang.

“Untuk mencapai apa yang saya ingin, saya perlu korban kehidupan normal sebagai seorang remaja dan saya tidak menyesal,” katanya.

Jika diimbas, kejayaan pemain kelahiran Huelva itu bermula pada 2011 apabila dia berjaya muncul juara Remaja Eropah, sebelum meneruskan kecemerlangan tiga tahun kemudian dengan merangkul kejuaraan Eropah.

Ketika berusia lapan tahun, Carolina lebih tertarik untuk menyertai kelas tarian tradisional Sepanyol, Flamenco tetapi minat untuk bermain badminton itu hadir selepas dia mula bermain secara suka-suka bersama rakannya di Kelab Badminton IES La Orden di Huelva.

Dia kemudian menjadi pemain badminton Sepanyol pertama meraih pingat perak Kejohanan Remaja Eropah pada 2009, sebelum meraih pingat emas pada Kejohanan Badminton Bawah 17 Tahun Eropah pada tahun sama.

Selepas itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan mula serius berlatih bersama jurulatihnya, Fernando Rivas yang memainkan peranan apabila sanggup merantau ke seluruh negara untuk mencari ramuan terbaik buat anak didiknya itu,

Belum puas

Bagaimanapun, kejayaan yang diraih itu belum memberi kepuasan buat dirinya.

Bagi Carolina, masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan bagi memastikan namanya terus terpahat sebagai pemain nombor satu dunia.

“Badminton merupakan sukan yang sangat popular di negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Korea tetapi bukan di Sepanyol, jadi saya perlu bekerja keras untuk berada di sini.

“Saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada sebaliknya harus terus berusaha meningkatkan prestasi lebih-lebih lagi ketika ini semakin ramai pemain wanita yang mula meningkat naik terutama dari pemain Thailand dan India,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");