Membawang Hari Ini

Dayana Roza: Tak sia-sia peluang

DIAM tidak diam, sudah tujuh tahun Dayana Roza bergelar anak seni. Meski populariti belum menyebelahinya secara total, pelakon yang bakatnya dicungkil daripada program realiti TV Anak Wayang ini tetap yakin dalam merencanakan kerjaya seninya. Jika kebanyakan artis baharu kini sibuk mencari peluang untuk menonjolkan diri menerusi pelbagai cerita sensasi, Dayana pula sebaliknya.

“Dulu ketika mula-mula bergelar pelakon, saya ambil kisah juga tentang populariti.

“Pernah jugalah compliance pada diri sendiri kenapa nama saya sedikit ketinggalan berbanding rakan-rakan seangkatan yang lain. Saya rasa sudah melakukan yang terbaik, tetapi masih ramai yang belum menyedari kehadiran saya. Pernah satu ketika, saya hampir berputus asa dalam bidang lakonan hanya disebabkan itu,” katanya.

Namun katanya, apabila difikirkan kembali, Dayana tidak mahu terus memikirkan perkara itu sedangkan tawaran kerja sentiasa datang secara berterusan.

“Ia secara tidak langsung memberi impak pada bakat dan kerja saya diterima baik walaupun tidak begitu dikenali.

“Jadi semenjak itu, saya mula fokus kepada kerja dan tahu apa yang saya inginkan dalam kerjaya,” katanya.

Mengambil pendekatan untuk memperbaiki kekurangan yang ada dalam lakonannya, heroin drama popular Asam Pedas Untuk Dia ini sentiasa mencari peluang untuk berguru dengan pelakon senior ketika berada di set penggambaran.

“Saya menganggap diri bertuah kerana sering diberikan peluang untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon senior yang sudah berpengalaman.

“Jadi kesempatan itu saya gunakan dengan sebaiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman dari mereka.

“Pada mulanya saya takut untuk mendekati mereka kerana merasa diri terlalu kecil dibandingkan dengan mereka semua.

“Namun apabila melihat sikap kebanyakan pelakon senior yang suka membantu dan berkongsi ilmu, saya jadi berani,” katanya.

Jelasnya, setiap peluang yang hadir tidak akan disia-siakan dan akan meminta tips lakonan daripada pelakon senior.

“Saya jenis yang tidak malu untuk bertanya dan belajar. Malah kalau berkaitan dengan kerja, saya tidak kisah pun dimarahi.

“Bagi saya teguran itu sangat penting untuk seseorang itu memperbaiki dirinya untuk menjadi lebih baik,” ujarnya jujur.

Berkongsi perkembangan seninya, kata Dayana, selain sibuk di lokasi penggambaran drama 100 episod, Lara Aishah dan telefilem Trauma, dia bakal memulakan penggambaran filem terbaharu, Minah Moto, tidak lama lagi.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan penggambaran filem ini kerana watak yang ditawarkan antara karakter yang menjadi idaman saya selama ini.

“Ini kali pertama saya diberikan peluang untuk memegang watak sebagai gadis lasak yang terlibat dengan aksi-aksi menunggang motor,” katanya.

Katanya lagi, minat pada sukan motor dan menunggang motor akan digunakan sebaik mungkin untuk watak tersebut.

“Saya melihat peluang ini cukup baik untuk menonjolkan sisi lain Dayana Roza.

“Lebih menarik, filem ini juga merupakan kerjasama pertama antara saya dan Ahmad Idham yang merupakan antara pengarah yang sudah lama saya teringin untuk bekerja dengannya,” kata Dayana turut membuat penampilan istimewa dalam filem Mat Motor Otai yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.

Hargai sokongan peminat

Dayana turut mengucapkan rasa terima kasih kepada peminat yang sering menyokong kerjaya seninya terutama kelab peminatnya Dstaroza.

“Masa mula-mula bergelar pelakon dulu, saya menolak bila ada peminat yang mahu tubuhkan kelab peminat untuk saya. Bukan tidak menghargai, tetapi ketika itu saya terfikir adakah saya mempunyai peminat? Nanti buat malu sahaja ada kalau kelab peminat itu tidak mempunyai ahli. Saya bukanlah popular pun.

“Namun apabila melihat kesungguhan mereka untuk menyokong, saya cuba positifkan diri. Alhamdulillah, dari dulu sampailah sekarang mereka cukup banyak membantu dan menyokong saya sepanjang dalam bidang seni ini. Rasa terharu sangat-sangat.

“Insya-ALLAH, 16 Oktober ini saya terlibat sebagai artis jemputan dalam program bersempena kempen kesedaran kanser payudara di Hospital Kuala Lumpur.

“Kelab peminat saya juga akan bersama-sama turun padang untuk menyokong program amal ini.

“Aktiviti kami bukan hanya terhad kepada hiburan semata-mata, tetapi turut terdorong kepada aktiviti amal yang boleh menyumbang kepada masyarakat,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");