Sukan Hari Ini

Di sebalik tabir Olimpik Rio 2016

SUDAH lebih sebulan Olimpik Rio 2016 melabuhkan tirai, namun kejayaan atlet Malaysia membawa pulang tiga pingat perak dan satu gangsa masih meniti di bibir peminat sukan tanah air.

Sekalung tahniah wajar diberikan kepada penyiar rasmi, Astro Arena yang telah membawakan kenangan suka duka atlet negara beraksi di Olimpik Rio 2016 kepada penonton di Malaysia.

Sinar Harian sempat berkongsi pengalaman dan kisah di sebalik Rio 2016 bersama Naib Presiden Bahagian Perniagaan Sukan Astro, Lee Chong Khay dan beberapa penyampai Astro Arena yang telah bertugas di sana.

Kejayaan besar Astro Arena

Berkongsi cerita selaku penyiar rasmi, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay (CK Lee) menyifatkan Astro Arena berjaya membawa Rio 2016 lebih dekat kepada penonton di Malaysia.

Dengan misi untuk membawa ceritera atlet Malaysia yang beraksi di Rio, CK Lee menganggap ini merupakan kejayaan besar kepada Astro Arena kerana berjaya mencapai jumlah tontonan melebihi 12 juta sepanjang hampir sebulan Olimpik disiarkan.

“Saya percaya kejayaan mencapai jumlah tontonan melebihi 12 juta merupakan satu kejayaan besar buat syarikat dan pada masa yang sama mengukuhkan nama Astro Arena selaku penyiar program sukan tempatan terbaik di Malaysia.

“Untuk perlawanan membabitkan Lee Chong Wei dan Lin Dan pada perlawanan separuh akhir perseorangan badminton sahaja, kami telah mencatat empat juta tontonan yang mana ia menjadi jumlah tontonan tertinggi daripada rakyat Malaysia sepanjang Olimpik berlangsung.

“Lebih membanggakan lagi, buat julung kalinya kami telah menyiarkan siaran langsung Sukan Olimpik membabitkan atlet Malaysia secara digital di laman Youtube Astro Arena dan telah mencapai jumlah keseluruhan tontonan 20 juta sepanjang sukan ini dilangsungkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kejayaan ini menjadi bukti semangat berpasukan yang kukuh dalam Astro Arena di dalam membawakan liputan atlet Malaysia yang beraksi di sana.

“Kami telah menghantar krew seramai 36 orang yang mana ini merupakan krew terbesar yang pernah kami hantar untuk satu kejohanan sukan berprestij.

“Saya percaya, semangat berpasukan yang telah diterapkan ini menjadi bukti besar kejayaan penyiaran kali ini yang berlangsung tanpa cacat cela.

“Dengan persiapan 18 bulan sebelum Olimpik Rio berlangsung, ini menjadi bukti Astro Arena komited dalam memberikan liputan sukan terbaik kepada penonton Malaysia,” katanya.

Pahit manis Rio

Catatan pahit manis Olimpik Rio 2016 turut dikongsi penyampai Astro Arena yang terpilih memberikan liputan secara langsung dari bumi Brazil.

Bagi Edleen Ismail yang kali pertama membuat liputan langsung untuk Sukan Olimpik, pengalaman hampir sebulan di Rio diperolehnya pada temasya kali ini begitu berharga.

“Terus-terang pada awalnya, perasaan untuk ke Rio agak bercampur-baur. Mana taknya, dengan pelbagai cerita negatif di Brazil iaitu rusuhan, zika dan sebagainya membuatkan saya agak risau.

“Tetapi lepas beberapa hari, saya dah dapat menyesuaikan diri dan mula jatuh cinta dengan bumi Rio. Ini kerana penduduknya sangat ramah dan mereka ada budaya yang suka melakukan aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain muzik. Jadi, ini membuatkan saya lebih selesa sepanjang berada di sini,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan, bagi Edleen, antara memori masih segar dalam ingatannya ialah sewaktu bersama atlet di pentas akhir.

“Antara yang tak dapat saya lupakan ialah ketika perlawanan akhir perseorangan lelaki di antara Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long. Masa tu macam-macam rasa ada. Rasa sedih ada, gembira pun ada.

“Di saat menemu ramah Lee Chong Wei selepas perlawanan, kami dapat merasai kesedihan yang ada pada wajah Datuk Lee Chong Wei walaupun dia cuba pendam kesedihan itu.

“Selain itu, kenangan lain yang tak dapat saya lupakan ialah ketika membuat penggambaran bersama penduduk tempatan di Rio. Pada waktu itu, mereka telah meluahkan mengapa mereka menentang Sukan Olimpik ini diadakan di Brazil.

“Antara yang diluahkan ialah kerisauan mereka terhadap hutang negara yang semakin meningkat dengan penganjuran sukan ini sedangkan Brazil tergolong di antara negara miskin. Jelas penduduk di sana lebih mengharapkan lebih banyak wang diperuntukkan kepada rakyat miskin dan menambah kemudahan kepada rakyat berbanding menganjurkan kejohanan yang hanya akan menambah hutang negara,” tambah Edleen lagi.

>>>Ikuti sambungan Di sebalik tabir Olimpik Rio 2016 esok-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");