Membawang Hari Ini

Doa anak-anak, Zarina nekad bertudung

NAMA Zarina Zainuddin sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Drama lakonannya sentiasa beri impak, sama ada watak antagonis mahupun protagonis. Semuanya dibawa dengan begitu baik sekali.

Beberapa drama lakonannya seperti Hati Seorang Perempuan, Menongkah Kasih, Bujang Terlajak Senang dan Ku Haramkan Susu Itu antara yang sering menjadi bualan.

Walaupun dianugerah bakat lakonan, namun ALLAH SWT turut beri ujian kepadanya. Dianugerahkan sepasang anak kembar yang menghidap Autisma bukanlah perkara mudah baginya untuk menjaga mereka.

Pun begitu, Zarina tidak menganggap ia sebagai cabaran, malah sanggup mengorbankan banyak masa untuk membesarkan Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai.

Meskipun Razil dan Raizal Azrai mempunyai kekurangan, mereka tetap mengingati Illahi dan sering kali menegur Zarina supaya menutup aurat dengan sempurna. Itulah tanda kasih sayang anak terhadap seorang ibu.

Sebelum ini, dramatis ini pernah bertudung, tetapi Zarina akui, ketika itu dia tidak begitu konsisten. Namun ketika ditemui semasa majlis pengumuman calon Festival Anugerah Skrin 2016 baru-baru ini, Zarina mengakui sudah bersedia berhijab sepenuhnya.

“Semuanya dari ALLAH SWT. Dia yang beri peluang untuk saya perbaiki diri. Tapi, saya tidak berani bercakap lebih-lebih. Doa baik-baik untuk saya,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mahu berhijab sepenuhnya, Zarina memberitahu, semua berlaku pantas dan paling terkesan apabila kisah hijab itu muncul dalam mimpinya.

Selepas itu, Zarina sering terfikir mimpi itu dan menganggap ia mesej sudah tiba masanya untuknya berhijab.

“Saya menerima pelbagai dugaan. Dari dahulu, saya memang nak berhijab dan ini boleh dibuktikan dengan tindakan saya yang pakai tudung, lepas itu tak pakai.

“Saya sangat berharap terus istiqamah untuk kekal bertudung,” jelasnya.

Mengakui sering dikecam segelintir masyarakat kerana tidak berhijab, namun dramatis ini tidak pernah mengambil peduli segala komen negatif, sebaliknya menjadikan sebagai pemangkin untuk terus berubah ke arah kebaikan.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada akan datang. Jadi, kita kena sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT supaya diberikan kekuatan untuk berubah,” ujarnya.

Kata Zarina, anak-anak merupakan kekuatan dirinya untuk berhijab setelah dinasihatkan beberapa kali oleh mereka.

Malah, katanya, suaminya juga turut menerima perubahan dirinya dan meminta untuk terus kekal demi kebaikan.

“Pada mulanya, suami terkejut apabila saya berhijab dan bertanya adakah saya benar-benar nekad.

“Jawapan saya, ya dan katanya ini keputusan terbaik,” katanya disusuli dengan gelak ketawa.

Tolak dua tawaran

Selepas berhijab, Zarina terus diuji apabila tawaran berlakon untuknya memerlukan dia membuka hijab.

“Saya terima dua tawaran drama dan kedua-duanya menuntut untuk wanita tidak berhijab. Saya terpaksa menolaknya dan Alhamdulillah pengarah drama-drama tersebut faham dan menghormati keputusan saya.

“Selepas ini, biarpun diberi watak antagonis dalam drama atau filem, Insya-ALLAH saya akan berlakon dengan berhijab,” katanya.

Namun, setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Percaya kepada itu, Zarina ditawarkan lagi untuk membintangi drama dan juga filem.

“Alhamdulillah, saya ditawarkan berlakon dalam sebuah filem, Malaun arahan Zack Lokman. Saya memegang sebagai isteri yang hatinya baik, tetapi mempunyai mulut becok. Mulutnya itu sering mengganggu suaminya.

“Selain itu, saya mungkin berlakon di dalam sebuah drama bersiri dan telefilem. Tetapi, saya perlu teliti dahulu skrip kedua-dua cerita ini. Kalau ia bersesuaian, saya akan menerimanya,” katanya.

Percaya rezeki ALLAH SWT luas, Zarina berdoa akan ada lagi tawaran lakonan untuknya memandangkan bidang seni lakonan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Saya sudah lama berlakon dan saya ia akan diteruskan. Saya dan percaya tawaran berlakon daripada pengarah untuk saya akan tiba,” katanya.

Meskipun berhijab, Zarina tetap akan menerima watak antagonis jika ditawarkan.

“Tidak semestinya selepas kita berhijab, kita kena terus jadi lemah lembut dalam lakonan kita. Kalau bertudung sekalipun, mana-mana pelakon boleh melakonkan watak antagonis. Perkara ini berdasarkan kebolehan dan kemampuan kita,” katanya.

Zarina berharap masyarakat mendoakannya untuk kekal istiqamah.

“Hati manusia ini kadang-kadang boleh berbolak-balik dan setiap manusia akan diduga ALLAH SWT. Jadi, diharap masyarakat boleh mendoakan supaya saya kekal dengan pendirian saya untuk kekal berhijab,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");