Jenayah

Dua wanita maut dalam nahas tiga kenderaan

JASIN: Dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Rim – Parit Keliling, Rim, di sini, semalam.

S Sridevi, 29, meninggal dunia akibat tersepit di bahagian pemandu, manakala ibu saudaranya, D Avanesammal, 55, tercampak keluar dari kereta jenis Proton Saga BLM.

Kejadian kira-kira 3 petang itu membabitkan sembilan mangsa.

Kedua-dua maut selepas kenderaan yang turut dinaiki bersama seorang wanita lain dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 40-an.

Kedua-dua kenderaan turut berlanggar dengan sebuah Nissan Almera dinaiki seorang lelaki berusia 30 tahun dan ibunya yang berada di belakang pacuan empat roda dari arah Rim menghala Jasin.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II Nazaruddin Abd Malek berkata, seramai 12 anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan.

“Sebaik sahaja sampai kita terus menyelamatkan pemandu lelaki Fortuner tersepit di tempat duduk dan mangsa berjaya dikeluarkan 10 minit kemudian. Seorang lelaki dipercayai bapanya mengalami kecederaan pada kaki.

“Terdapat seorang wanita di dalam Fortuner terbabit namun terlebih dahulu dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan di hospital sebelum kami sampai ke lokasi,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian mengeluarkan wanita yang tersepit dalam Proton Saga yang disahkan meninggal dunia oleh paramedik dalam tempoh 20 minit.

“Semasa kerja menyelamatkan dilakukan, kita dapati seorang wanita yang disahkan meninggal dunia sudah berada di luar Proton Saga dipercayai tercampak.

“Seorang kanak-kanak lelaki sudah berada di bahagian bawah dashboard (papan pemuka) tempat duduk penumpang hadapan, manakaala seorang wanita yang dipercayai menaiki kereta sama pula mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail mengesahkan kejadian.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");