Membawang Hari Ini

Dulu rocker kini pelawak

Jika dulu dia cukup terkenal dengan muzik rock bersama kumpulannya, Stinky, kini siapa sangka dia lebih hebat di medan komedi di Indonesia.

Menggunakan nama Andre Opera Van Java (OVJ), pemilik nama penuh Andre Taulany ini tidak menyangka kehadirannya dalam beberapa program komedi sebagai tetamu jemputan adalah permulaan kehidupan bergelar artis komedi.

Bertemu Andre di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini, dia mengakui jiwanya kini semakin sebati dengan dunia komedi.

Menurutnya, selepas beberapa tahun menyertai program OVJ, semakin banyak jemputan untuk program komedi dia sertai.

Gandingannya dengan bintang komedi popular di sama iaitu Sule juga dilihat kian membuahkan hasil apabila semakin ramai menyukai gandingan mereka.

Mereka juga disatukan dalam program bual bicara Ini Talkshow.

“Saya memang tidak terfikir akan lebih fokus dalam dunia komedi. Seperti semua tahu saya dulu adalah penyanyi kumpulan rock.

“Bersama Stinky sejak 1994, bidang komedi ini saya anggap sekadar suka-suka dan mencuba saja. Selepas kurang aktif bersama Stinky saya mula berlakon dan filem pertama ialah Kiamat Sudah Dekat yang turut dijadikan drama bersiri.

“Kemudian saya dijemput sebagai artis undangan program komedi. Saya mendapat maklum balas positif apabila ramai penonton suka dengan gaya santai saya. Sejak itu, saya anggap bidang komedi adalah rezeki untuk lebih fokus,”katanya.

Andre berkata, dia tahu bukan mudah untuk membuatkan orang ketawa. Namun, dengan kerjasama teman komedi lain terutama Sule membuatkan dia berjaya menguasai dunia komedi.

Selain Ini Talkshow, program komedi lain yang Andre sertai ialah Pagi Pagi dan Komedi Nite Live, ketiga-tiganya disiarkan di saluran Net.tv di Indonesia.

Dalam pada sibuk dengan program komedi, Andre mengakui masih merindui bidang nyanyian walaupun Stinky sudah berpecah dan masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

Bagi menghilangkan rasa rindu terhadap nyanyian, Andre sempat tampil dengan sebuah lagu berjudul Sayangku yang boleh didengari menerusi YouTube dan iTunes.

“Sebagai seorang yang bermula dengan nyanyian pastinya saya rindu untuk tampil dengan lagu baru. Namun, rezeki sekarang lebih menyerlah dalam bidang komedi. Justeru, bagi menghilangkan rasa rindu saya cuba tampil dengan sebuah lagu.

“Lagu Sayangku sudah dilancarkan tahun lalu, tetapi saya tidaklah beria-ia untuk mempopularkan lagu berkenaan. Ini kerana sasaran saya hanya untuk melepaskan rasa rindu menyanyi di samping mengubat rindu peminat yang mahu dengar lagu baru saya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");